Siapa sangka, lelaki ini yang sewaktu zaman kanak-kanaknya menghadapi masalah pembelajaran kerana disleksia akhirnya menjadi seorang yang dikagumi ramai apabila dewasa.
Willard Wigan, lelaki dari England yang dilahirkan pada Jun 1957. Ibu bapanya berasal dari Jamaica. Sejak kecil, Willard disahkan menghidap disleksia. Ia bukanlah satu penyakit. Penghidapnya juga bukan seorang yang mempunyai kecacatan otak atau fizikal. Tetapi ia hanya merupakan salah satu gangguan atau masalah dalam pembelajaran. Contohnya seperti kesukaran mengenal huruf, membaca, menulis, mendengar dan bercakap.
Sesetengah penghidap pula mengalami kesukaran untuk menyebut perkataan panjang. Ada juga yang sulit untuk mempelajari turutan seperti nama bulan, nombor, abjad dan sifir. Dengan erti kata lain, disleksia juga disebut sebagai buta huruf. Bagaimanapun, mereka yang mengalaminya bukanlah tergolong dalam golongan bodoh. Otak mereka cuma tidak mampu memproses maklumat secara normal seperti mana manusia biasa.
Situasi inilah yang dialami oleh Willard. Dia mengalami kesukaran membaca dan pelbagai jenis masalah dalam pembelajaran sejak berusia lima tahun. Keadaan tersebut menyebabkan dirinya sukar untuk mengikuti pelajaran di sekolah. Gara-gara kekurangan itu, dia sering dikritik dan diejek sehingga dirinya berasa sangat tertekan.
Willard cuba lari daripada tekanan dengan mencipta dunia fantasinya sendiri. Satu hari, lelaki berasal dari Birmingham ini melihat beberapa ekor semut dan mula berfikir alangkah bagusnya jika serangga itu mempunyai rumah sendiri. Lalu dia memutuskan untuk membina tempat tinggal untuk semut berteduh.
Tidak hanya kediaman, Wigan turut membuatkan haiwan berkenaan beberapa kelengkapan diri seperti kasut dan topi. Dari situ, bermulalah kisahnya sebagai pakar arca mikro. Apa yang menakjubkan, ciptaannya bukan satu perkara biasa. Karyanya begitu terperinci dan tinggi nilai seninya.
Dia mampu mencipta karya seni berupa patung mikroskopik berbentuk super kecil yang hanya boleh dilihat menggunakan mikroskop. Dia mengukir miniatur bersaiz 0.005mm sehingga 0.0002mm. Amat kecil sehingga tidak mampu dilihat dengan mata kasar manusia.
Bayangkan, ukirannya itu diletakkan dalam lubang jarum dan kepala pin. Sedangkan kita hendak memasukkan sehelai benang ke dalam lubang jarum pun sukar, inikan pula hendak meletakkan miniatur sekecil itu di dalam lubang jarum tersebut.
Untuk memuatkan hasil seninya dalam lubang logam itu, Willard menggunakan peralatan operasi yang juga bersaiz kecil. Kebanyakan karyanya dihasilkan menggunakan emas dan butiran pasir. Dia turut memotong rambut halus kepunyaan lalat yang telah mati untuk dijadikan sebagai berus cat.
Setiap satu karyanya mengambil mengambil masa antara tiga hingga lapan minggu untuk disiapkan. Kerana kerja-kerja itu begitu kecil dan halus, setiap arca dibinanya tidak mampu dilihat dengan mata kasar. Semua karyanya hanya boleh diamati dengan jelas menggunakan mikroskop.
Willard berkata, beliau memutuskan untuk mencipta arca dengan bentuk begitu kecil supaya tiada orang dapat melihatnya. Dengan itu, tiada siapa boleh mengkritiknya.
Bagaimana Willard mampu menghasilkan sesuatu yang sangat terperinci dalam saiz amat kecil begitu?
Pakar mikroskopik ini ada rahsianya. Sudah pasti dia bukan dikategorikan sebagai cerdik pandai dalam pelajaran. Tetapi satu kelebihannya ialah dia bijak mengadaptasi ilmu daripada persekitaran. Antara ilmu yang dipraktikkannya ialah bermeditasi.
Menurut Willard, apabila bekerja beliau memastikan dirinya berada di bawah pengaruh meditasi. Selama melakukan meditasi, degupan jantung dapat diperlahankan dan pernafasan menjadi tenang. Cara ini banyak membantunya mengurangkan getaran pada tangannya seterusnya dapat bekerja dalam keadaan tenang.
Selain mempraktikkan amalan bermeditasi, dia tidak gemar menyiapkan kerja-kerja seni pada siang hari kerana berasa terganggu dengan bunyi bising terutama ngauman kereta dari jalan raya. Justeru, Willard lebih senang memilih untuk bekerja pada waktu malam kerana ketika itu gangguan adalah sangat minimum.
Hasilnya, karya-karya beliau menjadi rebutan di kalangan orang kaya dan berpengaruh dunia seperti Putera Charles, Elton John, Mike Tyson dan Simon Cowell. Karyanya juga mendapat sanjungan antarabangsa dan sering disebut sebagai salah satu seni ajaib di dunia. – JURNAL
Sumber: UTUSAN