Hukuman penjara ke atas bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dipendekkan kepada enam tahun dan tarikh beliau dibebaskan adalah pada 23 Ogos 2028.
Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya kali ke-61 yang bersidang pada 29 Januari lalu turut mengurangkan denda kepada RM50 juta.
Urusetia Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya berkata, sebanyak lima kertas pengampunan termasuk permohonan Najib telah dipertimbangkan oleh Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16 Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah.
“Setelah menimbangkan pendapat dan nasihat, Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya kali ke-61 telah memutuskan hukuman ke atas Yang Berbahagia Datuk Seri Mohd Najib Tun Haji Abdul Razak diberikan pengurangan 50 peratus bagi hukuman dan denda yang perlu dibayar.
“Oleh yang demikian, Yang Berbahagia Datuk Seri Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak dipersetujui untuk dibebaskan pada tarikh pembebasan awal iaitu pada 23 Ogos 2028 dan denda yang perlu dibayar iaitu sebanyak RM210 juta dikurangkan kepada RM50 juta,” katanya.
Namun, sekiranya Najib tidak membayar denda tempoh penjara akan ditambah selama setahun dengan tarikh pembebasan adalah pada 23 Ogos 2029.
Najib menjalani hukuman penjara selama 12 tahun di Penjara Kajang selepas didapati bersalah atas tuduhan kes menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.
Najib gagal dalam rayuan akhir di Mahkamah Persekutuan yang mengekalkan sabitan dan hukuman serta denda RM210 juta atau penjara lima tahun sekiranya gagal membayar denda. – JURNAL
Sumber: MALAYSIA GAZETTE