Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) sudah menggariskan empat inisiatif untuk merakyatkan sastera membabitkan usaha penterjemahan dan penerbitan karya Sasterawan Negara (SN).
ITBM dalam kenyataan medianya berkata, ia termasuklah penubuhan Pusat Penyelidikan Antarabangsa Karya SN dalam terjemahan pelbagai bahasa dunia selain penterjemahan karya agung dunia atau naskhah popular ke dalam bahasa Melayu.
“Inisiatif ini sudah dibentangkan untuk mendapatkan buah fikir serta pandangan daripada SN sedia ada.
“Idea utama adalah untuk merakyatkan sastera menerusi kerja terjemahan dan menjadikan ia sebagai kegiatan popular di peringkat akar umbi,” katanya.
Katanya, pertemuan itu yang dipengerusikan oleh Pengerusi ITBM, Noor Amin Ahmad turut membabitkan tujuh SN antaranya; Datuk Seri A Samad Said; Prof Emeritus Muhammad Salleh; Datuk Dr Anwar Ridhwan; Datuk Baharuddin Zainal (Baha Zain); Datuk Dr Zurinah Hassan; Prof Datuk Dr Siti Zainon Ismail dan
Datuk Rahman Shaari.
ITBM berkata, dapatan daripada perbincangan dan perkongsian pandangan dalam sesi pertemuan terbabit akan diperincikan untuk diangkat dan dibentangkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bagi memohon pandangan dan kelulusan untuk pelaksanaannya. – JURNAL
Sumber: BERITA HARIAN