Kilang pembuatan dan pemasangan kenderaan tenaga baharu (NEV) pertama di negara ini dibangunkan di kawasan perindustrian Chembong, di sini, bermula hari ini.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, Careplus bersama-sama dengan pihak GoAuto menerusi Syarikat Joint Venture (JV), NexV Manufacturing Sdn Bhd membangunkan kilang berkenaan dengan keluasan 73.34 ekar secara berperingkat sehingga tahun 2028.
Menurutnya, fasa pertama projek akan melibatkan pembangunan Assembly Plant yang dijangka bermula pada suku pertama tahun ini, manakala, fasa kedua dan ketiga akan bermula masing-masing pada tahun 2026 dan 2028.
“Pemilihan lokasi di negeri ini memberi makna yang cukup besar kepada Kerajaan Negeri kerana dengan bermulanya NexV bertapak, ia bakal mewujudkan satu gelombang ekosistem baharu di negeri ini terutama dalam industri NEV.
“Saya yakin, proses pembinaan kilang ini akan memberikan isyarat kepada semua sektor rantaian yang berkaitan dengan Pembuatan Kereta EV bahawa Negeri Sembilan adalah sebuah lokasi alternatif untuk mana-mana pihak yang ingin melabur di Malaysia.
“Semestinya hasrat kita ialah apabila terbinanya kilang ini, maka ia akan dapat menarik lebih banyak jenama kenderaan EV atau komersial yang berhasrat untuk melakukan pemasangan tempatan (CKD),” katanya sempena Majlis Pecah Tanah Kilang Pembuatan dan Pemasangan Berteknologi Hijau yang pertama bagi NEV di Malaysia NEXV Manufacturing Sdn BHD, di sini, hari ini.
Aminuddin berkata, sejajar dengan pelaburan pihak NexV bernilai RM840 juta (secara berfasa) itu, penjanaan ekonomi secara mampan dapat dilaksanakan seterusnya membuka 600 peluang pekerjaan kepada anak tempatan dalam bidang kemahiran.
Menurut beliau, ia seiring dengan pendirian kerajaan untuk memupuk ekonomi hijau menjelang 2030 dengan menggalakkan industri rendah karbon, penyahkarbonan, ekonomi pusingan dan peralihan tenaga bersih.
Sumber: KOSMO! ONLINE