Umno Sabah pada masa ini mahu meletakkan fokus untuk memperkukuh parti itu di semua peringkat di negeri ini, sebelum memikirkan mengenai kerjasama dengan parti lain pada PRN Sabah akan datang.
Ketua Umno Sabah Bung Moktar Radin, berkata sememangnya ada parti yang berhasrat untuk bekerjasama, namun ia hanya akan diputuskan selepas DUN Sabah bubar nanti.
“Setakat ini belum muktamad untuk kerjasama dengan mana-mana parti hadapi PRN Sabah. Kita bagi keutamaan terlebih dahulu soal kekuatan parti, dan UMNO Sabah akan mengadakan siri jelajah ke seluruh bahagian di negeri ini bermula awal Februari ini.
“Melalui siri jelajah itu kita akan memantau dan melihat sendiri kekuatan parti di samping menjelaskan isu-isu semasa kepada ahli di peringkat akar umbi,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Isnin lepas Pengerusi Barisan Nasional (BN)Zahid Hamidi juga presiden Umno dilaporkan berkata rakan kerjasama BN dan Umno pada PRN Sabah akan ditentukan selepas DUN Sabah bubar.
Bung Moktar yang juga pengerusi BN Sabah berkata pihaknya mengalu-alukan kerjasama bersama parti gabungan yang lain bersandarkan kepada prinsip menghormati perjanjian satu sama lain yang bukan sahaja memberikan manfaat kepada parti tetapi juga rakyat Sabah secara keseluruhanya.
“Kita banyak belajar dari proses gabungan (parti) sebelum ini jadi perkara ini turut mematangkan Umno Sabah untuk mengambil sebarang keputusan yang penting. Sekarang Umno Sabah perlu diperkuatkan,” katanya. – JURNAL
Sumber: FMT