Datuk Seri Najib Razak menerusi peguamnya memohon kerajaan Malaysia supaya mengambil tindakan segera dengan mengarahkan perkhidmatan penstriman Netflix mengeluarkan filem dokumentari “Man on the Run” daripada ditayangkan di negara ini.
Peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, ketika memberitahu Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin, mendakwa dokumentari berdurasi 1 jam 38 minit itu sangat subjudis terhadap anak guamnya kerana perbicaraan 1MDB sedang berjalan dan pendakwaan terikat dengan tanggungjawab untuk mengambil tindakan segera.
“Man on the Run” ialah dokumentari yang diarah, ditulis, dan diterbitkan oleh Cassius Michael Kim berkisar mengenai skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang ditayangkan di negara ini pada 19 Oktober tahun lalu.
Ia turut memaparkan temu bual Najib yang menafikan pembabitan dalam skandal terbabit, selain temu bual dengan perdana menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim; pengarang Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown; dan bekas peguam negara, Tan Sri Tommy Thomas.
Muhammad Shafee berkata, apa yang lebih serius adalah Tommy turut membuat kesimpulan sendiri berhubung kes itu di luar mahkamah dalam dokumentari berkenaan.
Peguam itu turut melahirkan rasa terkejut kerana pegawai penyiasat sendiri tidak tahu mengenai dokumentari tersebut.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib berkata beliau hanya mengetahui mengenainya dan perlu menonton dokumentari berkenaan terlebih dahulu sebelum melaporkan kepada Peguam Negara dan mendapatkan arahan lanjut.
Ahmad Akram berkata, pihak pembelaan juga perlu menulis surat kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Muhammad Shafee berkata, beliau akan menulis surat kepada kedua-dua agensi itu secepat mungkin.
Katanya, beliau juga akan memfailkan permohonan untuk meneruskan prosiding pengkomitan (menghina mahkamah) terhadap bekas peguam Thomas dan tindakan saman terhadap pengarang Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown. – JURNAL
Sumber: AWANI