Tiga beradik antara enam individu didakwa di Mahkamah Majistret Selayang atas pertuduhan membunuh dan menanam mayat seorang pengawal keselamatan di Sungai Choh, Rawang, bulan lalu.
Bagi pertuduhan membunuh, dua beradik iaitu G Ganong Segaran, 34, dan adik perempuannya, G Malani, 33, bersama tiga individu lain, S Devi, 30, P Saravanan, 31, serta P K Vikinesvaran, 20 didakwa melakukan perbuatan itu.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bersama membunuh lelaki, S Ashok, 20, di sebuah rumah di Jalan Sungai Buaya, Sungai Choh, antara 8 pagi hingga 3.30 petang, 23 Dis lalu.
Kesalahan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK) dan dibaca bersama Seksyen 34 KK yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun dan jika tidak dihukum mati hendaklah disebat tidak kurang 12 kali jika sabit kesalahan.
Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada semua tertuduh sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nur Hafizah Rajuni, menurut media.
Pengakuan tidak direkodkan berikutan kes bunuh bawah kuasa Mahkamah Tinggi.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Nor Hakimi Mohamad Rosedin manakala semua tertuduh tidak diwakili peguam dan mahkamah menetapkan 4 Mac untuk sebutan kes.
Selain itu di mahkamah sama, Ganong Segaran bersama adik lelakinya G Dandem Bain, 30, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menanam mayat Ashok dengan niat untuk mengelakkan pesalah daripada dihukum.
Perbuatan itu didakwa dilakukan pada tempat dan tarikh sama, 3.30 petang hingga 8 malam mengikut Seksyen 201 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum bawah seksyen sama dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Nor Hakimi tidak menawarkan jaminan bagi setiap tertuduh.
Bagaimanapun, peguam Erni Ahmad daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) yang mewakili Dandem memohon jaminan dibenarkan terhadap anak guamnya dengan alasan masih menanggung keluarga.
Mahkamah membenarkan Dandem diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan tidak mengganggu saksi sehingga kes selesai dan menetapkan 4 Mac untuk sebutan kes.
Pada 24 Dis lalu, media melaporkan seorang lelaki maut dipukul menggunakan kayu, botol dan tong besi oleh abang teman wanitanya sebelum mayatnya ditanam di kawasan semak di belakang rumah keluarga wanita itu di Sungai Choh. – JURNAL
Sumber: FMT