Keupayaan membangunkan Pangkalan Data Utama (PADU) menunjukkan jentera kerajaan mampu melaksanakan perkara baharu tanpa bergantung kepada perunding antarabangsa yang membelanjakan kos yang tinggi, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, PADU dibangunkan sepenuhnya oleh penjawat awam iaitu membabitkan Kementerian Ekonomi, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dan Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU).
“PADU adalah kerjasama semua pihak. Semua kementerian memberi sumbangan dan kerjasama.
“PADU dikelolakan Kementerian Ekonomi, DOSM dan MAMPU menunjukkan jentera kerajaan mampu mengolah perkara baharu dengan usaha mereka sendiri tanpa terlalu bergantung kepada perunding antarabangsa yang menyebabkan kos tinggi.
“Saya ucapkan terima kasih dan tahniah kepada jentera ini,” katanya pada pelancaran PADU di sini, hari ini.
Perdana Menteri juga meminta Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali memantau pelaksanaan sistem PADU agar ia mencapai matlamat yang diidamkan.
Beliau juga mengingatkan jentera kerajaan agar tidak meninggalkan masyarakat miskin bandar, pedalaman dan desa dalam pelaksanaan PADU.
Katanya, dengan adanya PADU juga memberi ruang kepada rakyat supaya celik digital sejajar dengan transformasi digital negara.
PADU dibuka kepada orang ramai mulai hari ini sehingga 31 Mac 2024 bagi mengemaskini serta mengesahkan 39 item maklumat peribadi seperti nombor kad pengesahan, bilangan isi rumah dan alamat.
Semua rakyat yang berumur 18 tahun ke atas boleh mendaftar dan membuat semakan data di portal PADU mulai semalam hingga 31 Mac 2024. – JURNAL
Sumber: BERITA HARIAN