Empat penunggang motosikal yang tular melakukan aksi ‘Superman’ di Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) dekat Temerloh, petang Ahad lalu, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Temerloh, hari ini.
Mereka yang berusia antara 15 tahun hingga 22 tahun itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan hakim Ahmad Rizki Abdul Jalil.
Tiga daripada tertuduh merupakan penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) di Pahang dan ibu negara, manakala pelajar berusia 15 tahun itu bersekolah di Temerloh.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) dan dilakukan timbalan pendakwa raya Khairunissa Zaffar.
Menurut kertas pertuduhan, Ammar Muizzuddin Abdul Aziz, 19; Wan Muhammad Syahmi Wan Zulkifli, 20; Mohamad Haiqal Mohd Hanafi, 22, dan remaja berusia 15 tahun didakwa melakukan kesalahan di Kilometer 127 LPT arah Timur, pada 24 Disember lalu, kira-kira jam 6.30 petang.
Mereka didakwa menunggang motosikal dengan melulu atau dengan cara yang membahayakan orang awam.
Semua tertuduh diwakili peguam Khairul Anuar Abu Hasan Ashaari.
Mahkamah menetapkan kadar ikat jamin RM3,000 bagi Ammar Muizzuddin, Wan Muhammad Syahmi dan Mohamad Haiqal, manakala ikat jamin untuk remaja berusia 15 tahun pula ditetapkan RM1,500.
Selain itu, mahkamah memutuskan 6 Feb ini sebagai tarikh sebutan semula kes.
Sebelum ini, tular klip video berdurasi 28 saat memaparkan sekumpulan penunggang motosikal bersaing sesama sendiri sambil membuat sebelum seorang daripada mereka hilang kawalan dan terjatuh.
Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik JSPT Bukit Aman kemudian pada 27 Di berkata kejadian itu dipercayai berlaku berhampiran kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Temerloh.
“Bukit Aman sudah mengarahkan JSPT Pahang mengesan dan menjalankan siasatan terhadap penunggang motosikal yang terlibat.
“Polis menggesa kepada mereka yang terbabit untuk segera tampil ke mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan memandangkan nombor pendaftaran sudah dikenal pasti,” kata kenyataan itu.
Ketua Polis Daerah Temerloh, ACP Mazlan Hassan, dilaporkan berkata pihaknya telah mengesan pemilik motosikal berkenaan dan melakukan tangkapan ke atas kesemua suspek di rumah masing-masing di sekitar Temerloh dan Maran pada malam Rabu lalu. – JURNAL
Sumber: MALAYSIA KINI