Malaysia mengesahkan tiket ke separuh akhir Piala AFF 2022 dengan bergaya apabila membenam Singapura 4-1 pada aksi terakhir Kumpulan B di Stadium Nasional, Bukit Jalil, sebentar tadi.
Skuad Harimau Malaya mempamerkan persembahan bertenaga dan tidak menghampakan lebih 65,000 penyokong setianya.
Anak buah Kim Pan Gon dilihat meraikan kemenangan bergaya mereka apabila berjaya mengoncang gawang Singapura sebanyak empat kali malam ini.
Persembahan bertenaga Harimau Malaya bermula sebaik sahaja wisel permulaan dibunyikan.
Pujian harus diberikan kepada penjaga gawang lawan, Hassan Sunny yang begitu sibuk sepanjang babak pertama apabila memastikan skuad Harimau Malaya tidak kenduri gol dengan beberapa kali menafikan peluang negara untuk membuka jaringan.
Selepas beberapa kali dipaksa ‘menadah’ percubaan Malaysia, penjaga gol veteran itu dijinakkan pada minit ke-36 apabila tandukan Darren Lok yang menyudahkan hantaran lintang Safawi Rasid menggegar jaringnya.
Belum sempat Singapura mencatur gerakan selepas rehat, mereka bagaikan sesak nafas apabila dibedil dengan rembatan jarak jauh Stuart Wilkin minit ke-50, sebelum pemain terus menyeksa penyokong Singapura yang bertandang dengan gol ketiga buat negara empat minit berselang.
Skuad Kota Singa menghidupkan sedikit sisa perjuangan menerusi jaringan Faris Ramli pada minit ke-83 sebelum penjaga gawang negara, Ahmad Syihan Hazmi terpaksa ‘terbang’ untuk menepis percubaan Amy Recha seminit berselang.
Bagaimanapun, jaringan pembukaan Singapura itu hanya sekadar sagu hati apabila Malaysia kembali berkelebihan tiga gol selepas penyudah kemas pemain gantian, Sergio Aguero menewaskan Hassan buat kali keempat pada minit ke-86.
Selaku naib juara Kumpulan B, Malaysia akan berdepan juara Kumpulan A yang juga ‘raja ASEAN’ enam kali, Thailand pada peringkat separuh akhir secara timbal balik di Stadium Nasional, Sabtu ini dan di Bangkok, 10 Januari.
Vietnam yang menjuarai Kumpulan B pula menempah pertemuan separuh akhir dengan naib juara Kumpulan A yang juga naib juara Piala AFF sebanyak enam kali, Indonesia pada Jumaat ini dan Isnin. -JURNAL
Sumber: BHOnline