Seorang jurutera Tesla luka di tangan kiri akibat ‘diserang’ oleh jentera robot yang rosak semasa memprogram dua lagi jentera robot kilang Tesla di Texas yang gagal berfungsi, lapor Sputnik memetik laporan akhbar Daily Mail dari UK pada Selasa.
Kejadian itu merujuk kepada laporan kecederaan pada 2021 yang dikemukakan kepada pihak berkuasa Travis County.
Jurutera itu ‘diserang’ oleh jentera robot yang diprogram untuk mengangkat dan memindahkan bahagian-bahagian kereta yang baharu diperbuat daripada aluminium di Gigafactory Texas Tesla berdekatan Austin, menyebabkan dua rakan sekerjanya menutup butang kecemasan.
Jentera robot itu dilaporkan menekan jurutera itu dan menusuk kuku logamnya ke bahagian belakang dan lengan pekerja itu menyebabkan “luka dalam,” menurut laporan itu.
Akhbar itu memetik Tesla sebagai berkata bahawa jurutera itu tidak memerlukan cuti sakit.
Walaupun Tesla tidak melaporkan kecederaan lain yang berkaitan dengan jentera robot di kilang itu kepada pihak berkuasa, insiden itu mencetuskan kebimbangan mengenai risiko jentera robot automatik di tempat kerja.
Seorang peguam yang merupakan wakil pekerja kontrak kilang itu, Hannah Alexander berkata beliau percaya jumlah kemalangan pekerja yang dialami di kilang itu kurang dilaporkan berdasarkan perbualannya dengan pekerja di kilang itu.
Beliau memberi nasihat supaya jangan terlalu percaya dengan laporan itu dan penjelasan Tesla. – JURNAL
Sumber: FMT