Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara) Asyraf Wajdi Dusuki memberi peringatan terhadap ibu bapa yang memalsukan pendapatan dan mendakwa mereka daripada kategori B40 dengan harapan anak mereka berpeluang lebih baik untuk mendaftar di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).
Menerusi Facebook, Asyraf menggesa individu sebegitu supaya memikirkan anak-anak mereka sendiri, belajar tanpa “berkat” kerana mereka telah merampas hak orang lain yang benar-benar layak.
“Usahlah menipu pendapatan hanya untuk dikategorikan B40 supaya anak diterima MRSM.
“Kesian kepada anak-anak yang belajar dalam keadaan tiada keberkatan akibat mengambil hak orang miskin yang lain,” katanya dalam catatan Facebook.
Dasar Mara menetapkan 60 peratus pelajar MRSM mestilah terdiri daripada kumpulan B40, manakala selebihnya adalah calon yang lulus Ujian Kecenderungan Kemasukan MRSM atau UKKM daripada kumpulan M40 dan T20.
Dalam catatannya, Asyraf turut menjawab komen, termasuk mereka yang mempersoalkan proses awal untuk menentukan status pendapatan sesebuah keluarga.
Antara lain, dia berkata akan ada ibu bapa yang tidak mempunyai slip gaji bulanan, atau orang lain yang secara palsu mengisytiharkan pendapatan mereka. – JURNAL
Sumber: MALAYSIA KINI