Bekas presiden Majlis Peguam Sulaiman Abdullah meninggal dunia pada petang Isnin dalam usia 77 tahun.
Khabar pemergian Allahyarham disahkan oleh anak lelakinya pelakon dan penulis drama Huzir Sulaiman yang berkata walaupun bapanya menghadapi pelbagai cabaran kesihatan, fikirannya yang tajam dan cerdas tetap tidak terjejas.
Huzir melalui pesanan khidmat ringkas menjelaskan bapanya terus mewakili anak guamnya dan berkhidmat dalam pelbagai jawatankuasa serta panel penasihat.
Sepanjang kerjayanya, Sulaiman terlibat dalam kes-kes terkenal termasuk menjadi peguambela perbicaraan kes liwat Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan peguam pendakwaan untuk kes rasuah bekas perdana menteri Najib Razak serta krisis perlembagaan Perak susulan penyingkiran Mohd Nizar Jamaluddin.
Sulaiman pernah menjadi setiausaha Badan Peguam Malaysia (1993-1995) dan juga presiden Majlis Peguam (2000-2001).
Pemergian Allahyarham berlaku dua tahun selepas kematian arwah isterinya, bekas pesuruhjaya Suhakam Allahyarhamah Mehrun Siraj yang meninggal dunia pada 29 Jun 2021.
Sementara itu Perdana Menteri, Anwar Ibrahim dalam satu hantaran di Facebook berkata, bahawa Sulaiman bukan hanya seorang peguam, malah juga seorang sahabat yang akrabnya.
“Beliau (Sulaiman) bersama saya dan keluarga di tahun-tahun lampau yang gelap dan getir.
“Fikrah dan nurani beliau yang teguh kepada prinsip-prinsip keadilan dan hak asasi manusia tidak dapat disangkal sesiapa.
“Saya amat terkesan saat menerima berita ini tatkala masih di Tokyo untuk lawatan kerja. Mendoakan keluarganya diberi kecekalan yang ampuh selain diampun segala dosanya dan ruh almarhum diberi tempat yang istimewa di sisi Allah SWT,” katanya. – JURNAL
Sumber: MALAYSIA KINI