Polis mengambil beberapa barangan untuk membantu siasatan selepas melakukan pemeriksaan rumah ke rumah kali kedua di Blok R Apartmen Idaman, Damansara Damai, di sini, malam tadi.
Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya akan melakukan analisa terlebih dahulu terhadap bukti-bukti yang diperoleh.
Menurutnya, setakat ini tiada perkembangan positif dalam usaha menjejak pembunuh kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin, 6.
“Kita perlu analisa terlebih dahulu semua penemuan-penemuan ini dan masih berusaha mengumpul bukti secukupnya,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.
Ditanya sama ada terdapat arahan khusus dikeluarkan pihak polis terhadap penduduk untuk kekal di blok mereka ketika pemeriksaan dijalankan, beliau berkata, penduduk boleh melakukan rutin harian mereka seperti biasa.
“Jika kita lakukan pemeriksaaan, mereka tiada di rumah atau berada di luar kawasan, kita akan tunggu dan panggil mereka untuk mass DNA screening (ujian DNA beramai-ramai),” katanya.
Terdahulu, dua kotak dilihat dibawa keluar selepas pemeriksaan pasukan Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) selama kira-kira dua jam di setiap rumah di Blok R apartmen berkenaan.
Kotak berkenaan dipercayai bahan bukti bagi membantu siasatan kes pembunuhan kanak-kanak itu yang mayatnya ditemukan di saliran air dekat kawasan apartmen berkenaan pada 6 Disember lalu.
Lebih 25 anggota dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor melakukan pemeriksaan itu bermula 8.40 malam tadi dan berakhir kira-kira 10.30 malam.
Pemeriksaan didapati tertumpu di tingkat dua dan tiga blok berkenaan. – JURNAL
Sumber: HARIAN METRO