Prosiding bela diri Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isterinya, Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad yang sepatutnya berlangsung hari ini ditangguhkan sementara menunggu rayuan mereka di Mahkamah Rayuan, Putrajaya.
Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi, Datuk Azhar Abdul Hamid membenarkan permohonan Bung, 65, dan Zizie, 45, selaku pemohon untuk menggantung perbicaraan bersabit tiga pertuduhan rasuah RM2.8 juta membabitkan pelaburan bernilai RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual Berhad.
Rayuan itu berhubung penolakan Mahkamah Tinggi terhadap permohonan mereka untuk menyemak keputusan Mahkamah Sesyen yang memerintahkan kedua-duanya membela diri atas tiga pertuduhan tersebut.
Sementara itu, ketika prosiding di Mahkamah Sesyen, Hakim Rozina Ayob menetapkan 27 Januari ini bagi sebutan semula kes bagi memaklumkan kepada mahkamah mengenai status rayuan pemohon di Mahkamah Rayuan.
“Justeru tarikh-tarikh bicara bela diri pada 9 hingga 13 Januari ini dilapangkan,” kata Rozina.
Hari ini, pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Law Chin How serta Mohd Sophian Zakaria, manakala Bung dan Zizie diwakili peguam M Athimulan.
Pada 2 September lalu, Bung dan Zizie diperintah membela diri oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur yang dituduh atas tiga kesalahan rasuah.
Rozina memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie di akhir kes pendakwaan itu.
Pada 9 Disember lalu, prosedur memohon untuk menyemak keputusan Mahkamah Sesyen itu dibuat setelah Mahkamah Tinggi membenarkan bantahan awal pihak pendakwaan terhadap permohonan tersebut.
Berikutan itu, kedua-dua pemohon kemudian memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi tersebut.
Mengikut pertuduhan pertama, Bung yang ketika itu merupakan Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra didakwa menerima rasuah dalam bentuk wang tunai RM2.2 juta daripada ejen pelaburan Public Mutual, Madhi Abdul Hamid melalui isteri tertuduh.
Dia dituduh melakukan perbuatan itu sebagai upah mendapatkan kelulusan Menteri Kewangan II untuk Felcra membuat pelaburan sebanyak RM150 juta bagi menyertai produk unit amanah Public Mutual.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Public Bank Berhad, Cawangan Taman Melawati , Jalan Bandar 12, Taman Melawati pada 12 Jun 2015.
Bagi pertuduhan kedua, Bung didakwa memperoleh suapan iaitu wang tunai berjumlah RM262,500 daripada individu sama, Madhi melalui akaun Public Islamic Treasures Growth Fund (PITGF) yang didaftarkan atas nama Zizie bagi tujuan serupa.
Bekas Ahli Parlimen itu juga dituduh secara rasuah memperoleh untuk dirinya suatu suapan iaitu wang tunai berjumlah RM337,500 daripada ejen pelaburan Public Mutual, Norhaili Ahmad Mokhtar melalui akaun Public Ittikal Sequel Fund (PITSEQ) didaftarkan atas nama isterinya bagi tujuan sama.
Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di lokasi sama pukul 12.16 tengahari dan 12.28 tengahari, pada 19 Jun 2015.
Pendakwaan dikemukakan mengikut Subseksyen 17(a) Akta SPRM dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Zizie juga didakwa atas tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya berhubung perkara sama, di tempat, tarikh dan masa serupa.
Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 28(1) (c) Akta SPRM dan boleh dihukum di bawah Subseksyen 24(1) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan. – JURNAL
Sumber: Kosmo!