Kementerian Pendidikan (KPM) menjanjikan reformasi pendidikan yang lebih teratur menjelang tahun hadapan dengan polisi-polisi lebih baik.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, reformasi pendidikan lebih teratur dapat dilihat selepas KPM menyediakan garis panduan penting dan sudah mula dilaksanakan bermula tahun ini.
Kata beliau, KPM komited untuk terus mengangkat pendidikan negara ke tahap seterusnya.
“Sepanjang tahun, kami melaksanakan pelbagai garis panduan baharu terutamanya dalam kes buli dan gangguan seksual.
“Semua ini penting sebagai refleksi komitmen KPM dalam merealisasikan ekosistem sekolah yang lebih selamat dan penyayang,” katanya ketika berucap pada Program Setahun Bersama Kerajaan Madani di pekarangan Stadium Nasional Bukit Jali di sini hari ini.
Program ini dijalankan selama tiga hari iaitu sehingga Ahad ini dan ia bertujuan menyebar dan mempromosikan dasar serta inisiatif yang diperkenalkan Kerajaan Perpaduan kepada rakyat.
Mengulas lanjut, Fadhlina berkata, kementeriannya turut memberi fokus kepada beberapa isu mengenai pendidikan negara iaitu antaranya sekolah daif dan pemberian Bantuan Awal Persekolahan (BAP).
Jelasnya, KPM tidak akan menghentikan program-program tersebut supaya ibu bapa tidak akan terbeban untuk memastikan anak-anak mereka ke sekolah.
“Kami tidak akan menghentikan program ini untuk memastikan ibu bapa diberi keringanan pada musim masuk sekolah.
“Oleh itu, pemberian BAP akan diberikan seawal pembukaan sekolah tahun hadapan, berjumlah RM150 kepada semua pelajar tanpa mengira latar belakang sosioekonomi,” katanya.
Tambahnya, KPM sedang merangka pelbagai projek baharu untuk tahun hadapan yang mempunyai tema yang sama demgan usaha kerajaan ketika ini iaitu pemulihan tandas sekolah.
“Projek baik pulih tandas berjalan dengan baik. Secara tidak langsung, ia juga memperlihatkan sisi komitmen KPM untuk menanam nilai-nilai murni dalam kalangan pelajar,” jelasnya. – JURNAL
Sumber: UTUSAN