Mahkamah Sesyen di sini hari ini memerintahkan PAS membayar RM656,233.69 kepada bekas pencetak akhbar Harakah, NAJ Press Resources (M) Sdn Bhd yang menuntut baki bayaran perkhidmatan mencetak.
Hakim Lailatul Zuraida Haron @ Harun membuat perintah itu selepas membenarkan permohonan NAJ Press selaku plaintif untuk mendapatkan penghakiman terus dalam tuntutan samannya terhadap PAS.
Penghakiman terus merujuk penghakiman dibuat oleh mahkamah ke atas pihak yang dituntut secara terus tanpa perlu melalui perbicaraan apabila isu berhubung fakta atau undang-undang, tidak dipertikai.
Dalam kes saman berkenaan, NAJ Press turut menamakan Datuk Seri Takiyuddin Hassan selaku Setiausaha Agung PAS dan penerbit akhbar Harakah, Galeri Media Serbanika Sdn Bhd sebagai defendan kedua dan ketiga.
Perkara itu disahkan oleh peguam, Surya Putra Taulan yang mewakili NAJ Press dan peguam, Mohd Faizi Che Abu yang bagi semua defendan ketika dihubungi media hari ini.
Syarikat terbabit memfailkan permohonan untuk memasukkan penghakiman terhadap semua defendan pada 2 Oktober lalu dengan alasan defendan tidak mempunyai sebarang pembelaan yang bermerit dan sebarang isu yang boleh dipertikai.
Dalam writ saman dan pernyataan tuntutan difailkan pada 11 Julai lalu, plaintif mendakwa ia beberapa kali membuat tuntutan terhadap baki bayaran perkhidmatan untuk mencetak akhbar Harakah.
Plaintif mendakwa, ia juga menghantar surat tuntutan bertarikh 3 April 2019 untuk menuntut baki bayaran berkenaan dan defendan melalui surat bertarikh 8 April 2019 mengakui jumlah tunggakan dan berjanji untuk melunaskan bayaran, tetapi gagal berbuat demikian.
Plaintif berkata, ia kemudian menghantar surat peringatan kepada PAS dan Harakah bertarikh 5 Ogos 2019 melalui Takiyuddin selaku Setiausaha Agung parti bagi menuntut tunggakan baki bayaran itu namun sehingga kini, semua defendan masih gagal membuat pembayaran. – JURNAL
Sumber: BERITA HARIAN