Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menafikan akan meletakkan jawatan dalam politik kerana masalah kesihatan.
Beliau berkata, kesihatannya kini semakin baik selepas menjalani pembedahan akibat penyakit prostat.
“Saya sendiri pun tak tahu yang saya akan melakukan perkara itu (spekulasi meletak jawatan).
“Saya memang ada jalani prosedur pembedahan prostat, semua orang laki-laki ada prostat.
“Alhamdulillah saya sihat atas doa semua termasuk orang yang mendoakan agar saya melakukan sesuatu yang tidak pernah saya fikirkan,” katanya ketika ditemui di Putrajaya, hari ini.
Ahmad Zahid bagaimanapun tidak menjelaskan lebih lanjut penyakit berkaitan prostat yang dihidapinya.
Sebelum ini timbul khabar angin bahawa timbalan perdana menteri itu menghidap kanser prostat. Malah, ada spekulasi yang mendakwa Ahmad Zahid menghidap sakit kanser tahap empat dan akan melepaskan jawatan dipegangnya.
Pada November 19 lalu, anak sulung beliau, Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid mengesahkan bapanya dalam keadaan sihat selepas menjalani prosedur pembedahan kecil.
Dalam hantaran dimuat naik di Instagram Nurulhidayah dilaporkan berkata, beliau sangat menghargai segala keprihatinan dan doa daripada orang ramai mengenai kesihatan bapanya.
Sementara itu pada 23 November, Ahmad Zahid dalam satu hantaran di Facebook menyatakan beliau sedang berehat atas nasihat doktor sebelum kembali bertugas.
Minggu lalu, Ahmad Zahid kembali bertugas dengan menghadiri mesyuarat kabinet yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim – Jurnal
Kredit: MalaysiaKini