Skuad bola sepak kebangsaan mendaki tujuh anak tangga dalam ranking terbaharu Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).
Harimau Malaya yang jatuh tiga anak tangga ke ranking ke-137 dunia pada 26 Oktober lalu, kini berada di kedudukan 130 selepas kemaskini terbaharu badan induk itu, hari ini.
Kedudukan terbaru itu adalah yang terbaik dicapai Harimau Malaya dalam tempoh 17 tahun selepas menduduki ranking ke-124 dunia pada 2006.
Kenaikan ranking itu disumbangkan oleh kejayaan skuad kendalian Kim Pan Gon yang merekodkan kemenangan dalam dua aksi awal Kumpulan D Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027, bulan lalu.
Harimau Malaya tampil dengan aksi luar biasa di Stadium Nasional, Bukit Jalil, 16 November lalu apabila bangkit dari ketinggalan 1-3 untuk menewaskan pasukan ranking kelompok 100 dunia, Kyrgyzstan 4-3.
Persembahan cemerlang itu kemudian diteruskan di Stadium Perbandaran Taipei, 21 November lalu apabila mereka menewaskan Taiwan 1-0, sekali gus menjadi kemenangan sulung Harimau Malaya di negara itu.
Menerusi semakan di laman sesawang FIFA, ranking terbaik negara adalah 75 yang dilakar pada 1993 sementara kali terakhir Malaysia berada dalam kelompok 120 terbaik dunia adalah pada 2004 (120).
Tugasan besar Harimau Malaya yang seterusnya adalah pusingan akhir Piala Asia 2023 yang akan berlangsung di Qatar pada Januari hingga Februari tahun hadapan.
Skuad Pan Gon diundi dalam Kumpulan E bersama gergasi Asia yang juga juara dua kali, Korea Selatan selain Bahrain dan Jordan.
Sumber: BH ONLINE