Kerajaan sedang giat membuat persiapan bagi mengeluarkan semua warga Malaysia di Laukkaing, Myanmar susulan pergolakan di wilayah utara Myanmar itu.
Kementerian Luar Negeri memaklumkan Kementerian Kewangan meluluskan peruntukan khas bagi membawa pulang rakyat yang terkandas.
“Pelaksanaan proses pengungsian ini bagaimanapun tertakluk sepenuhnya kepada kelulusan oleh pihak berwajib di Myanmar dan China,” kata Wisma Putra dalam kenyataan.
Menteri Zambry Abd Kadir pada Isnin memaklumkan seramai 127 rakyat Malaysia dikenal pasti terkandas di Laukkaing, dan mereka dijadual akan dibawa pulang esok, berdasarkan perancangan awal.
Wisma Putra juga sebelum ini memaklumkan antara yang terkandas di Laukkaing dipercayai mangsa sindiket penipuan tawaran pekerjaan.
Wilayah utara Myanmar genting susulan serangan oleh kumpulan-kumpulan bersenjata bulan lepas, yang menawan beberapa lintasan sempadan ke China. – JURNAL
Sumber: FMT