Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali, dilihat menangis selepas Mahkamah Sesyen memerintahkannya membela diri terhadap dua pertuduhan iaitu mengabai dan menganiaya remaja perempuan dikenali Bella.
Keputusan itu dibacakan Hakim, Izralizam Sanusi selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan prima facie terhadap semua pertuduhan di akhir kes pendakwaan itu.
Dalam keputusannya, Izralizam berkata, pihak pendakwaan berjaya memenuhi elemen yang membuktikan tertuduh mengabai dan menganiaya mangsa sehingga menyebabkan kecederaan fizikal dan emosi terhadap mangsa berdasarkan kesan luka lama dan lecur pada badan.
Katanya, keputusan dibuat berdasarkan testimoni sekumpulan pakar perubatan Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada fizikal Bella.
“Parut di seluruh badan Bella, termasuk parut terbakar menunjukkan bahawa ia adalah daripada kesan lecur tahap kedua, bukan tidak sengaja atau diri sendiri yang menyebabkan kecederaan.
“Penjaganya (penjaga Bella) di Taman Sinar Rumah Kebajikan Harapan di Seremban juga memberi keterangan bahawa Bella trauma selepas tinggal bersama tertuduh.
“Bella dilihat takut dengan orang apabila kembali untuk tinggal di rumah kebajikan, dan dia menjerit dalam tidurnya,” katanya.
Dalam keputusan sama, Izralizam berkata, berlaku kecederaan ketika mangsa (Bella) dalam jagaan tertuduh dan terjadi kerana pengabaian dilakukannya (tertuduh).
“OKT cuai, kurang memberi perhatian dan gagal menjaga Bella dengan baik.
“Sekiranya jaga Bella dengan baik dan sepenuh perhatian, sudah pasti dia tidak menderita dan kesakitan.
“Saya sudah membuat penilaian maksimum berdasarkan keterangan saksi pendakwaan seterusnya memutuskan pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie bagi kedua-dua pertuduhan dan memanggil OKT membela diri (bagi setiap pertuduhan),” katanya.
Izralizam memberi tiga pilihan kepada Siti Bainun ketika prosiding membela diri.
“Pilihan pertama adalah dengan memberi keterangan secara bersumpah dari kandang saksi kemudian disoal balas oleh pendakwaan dan mahkamah akan menilai.
“Kedua, tertuduh boleh memberi keterangan tidak bersumpah dan tidak akan disoal balas oleh pendakwaan.
“Pilihan ketiga, kamu (tertuduh) boleh berdiam diri dengan tidak menjawab pertuduhan atau kedua memberikan kenyataan tidak bersumpah tanpa pemeriksaan balas oleh pihak pendakwaan,” katanya.
Seorang peguam bela tertuduh, Mohammad Farhan Maaruf, kemudian memberitahu mahkamah yang anak guamnya akan memberi keterangan bersumpah dalam prosiding membela diri.
Mahkamah kemudian menetapkan tarikh perbicaraan untuk membela diri bermula 5 hingga 9 Disember depan dan lima saksi pembelaan akan dipanggil bagi memberi keterangan termasuk Siti Bainun.
Terdahulu, Siti Bainun hadir di Kompleks Mahkamah Tinggi di sini kira-kira 8.57 pagi dengan memakai baju kurung berwarna hitam dan tudung merah jambu.
Pada 28 Oktober lalu, pihak pendakwaan menutup kesnya selepas memanggil 22 saksi pada perbicaraan kes itu yang bermula 30 Mac lalu.
Selain Bella, saksi lain termasuk bekas penghuni Rumah Bonda iaitu Yasmin Nahar Mahmood, pakar psikiatri Dr Wan Asyikin Wan Azlan, pembantu pengurus syarikat swasta Zurianty Sudin dan pakar bedah plastik Dr Salmi Mohamed Shukur.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nor Azizah Mohamad, Zilfinaz Abbas, Zahida Zakaria, Fazeedah Faik dan Shakira Aliana Alias.
Manakala, peguam bela terdiri daripada Nur’Aminahtul Mardiah Md Nor, Mohammad Farhan Maaruf, Nurul Hafidzah Hassan, Asiah Abd Jalil dan Nur Ellena Mohamed Razif, mewakili Siti Bainun.
Hadir sama, Datuk Khairul Anwar Rahmat, Datuk Ikbal Salam dan Mohd Radzi Yatiman yang dilantik oleh Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim, selaku peguam pemerhati.
Turut hadir memberi sokongan adalah aktivis, Mona Din; Setiausaha Persatuan Bunga Bunga Syurga Down Sindrom Malaysia, Hairun Nizah Abd Shukor dan penyanyi, Fynn Jamal. – JURNAL