Bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK), Sirul Azhar Umar, yang berdepan hukuman mati di Malaysia kerana membunuh wanita warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu masih di bawah notis merah Polis Antarabangsa (Interpol).
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, notis merah berkenaan belum dibatalkan memandangkan pihak berkuasa masih berusaha membawa pulang Sirul ke Malaysia.
“Saya fikir apa yang diberitahu oleh Ketua Polis Negara adalah jelas. Kita masih berusaha (membawa pulang Sirul), mengkaji kaedah dan ia melangkaui (bidang kuasa) polis. “Ketika ini ia di peringkat Jabatan Peguam Negara (AGC). Nama beliau (Sirul) masih disenaraikan di bawah notis merah Interpol,” katanya pada sidang media di Bukit Aman, hari ini.
Hadir sama, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendakwaan dan Undang-Undang (D5) JSJ Bukit Aman, SAC Datuk Mohamad Zainal Abdullah.
Hari ini, Sirul menerusi temu bual eksklusif dengan Al Jazeera English’s 101 East dilapor merayu untuk meneruskan kehidupannya di Australia.
BACA: Sirul Mohon Maaf Kepada Keluarga Altantuya, Mohon Terus Menetap Di Australia
Sirul mendakwa, adalah berbahaya baginya untuk kembali ke Malaysia, selain memohon maaf kepada keluarga mendiang Altantuya.
Dia mendakwa tidak bertanggungjawab atas pembunuhan itu walaupun telah disabitkan kesalahan oleh mahkamah tertinggi di Malaysia. – JURNAL
Sumber: AWANI