Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah membuka permohonan secara dalam talian kepada pasukan perubatan dan sukarelawan yang akan dimobilisasikan ke Semenanjung Gaza.
Kata Zaliha, mereka yang terpilih akan didedahkan dengan latihan persediaan yang bersesuaian terutama ketika berada di zon perang.
“Latihan ini melibatkan persediaan secara fizikal dan mental kerana mereka akan berada di zon perang,” katanya dalam sidang akhbar pada Rabu.
Ini kerana, ketahanan fizikal serta mental merupakan cabaran besar kepada petugas dan sukarelawan yang akan dihantar bagi berkhidmat di bumi Gaza.
Bagi tujuan tersebut, pihaknya akan menyediakan latihan sebaiknya kepada kumpulan petugas sekiranya terpilih dihantar ke negara bergolak tersebut.
Beliau berkata, penghantaran pasukan bantuan itu akan dilakukan sebaik sahaja kebenaran memasuki negara itu diberikan.
Beliau berkata demikian sempena sambutan Hari Integriti Kementerian Kesihatan Malaysia 2023 dengan tema ‘Integriti Citra, Malaysia Madani’.
Hadir sama Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni dan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya.
Mengulas lanjut, Zaliha berkata, pihaknya pada masa ini dalam proses pemilihan petugas ke Gaza, namun jumlah permohonan bagi tujuan itu masih belum diperoleh.
Menurutnya, penghantaran pasukan dari Malaysia itu bertujuan memberi bantuan sewajarnya kepada mereka yang memerlukan dan membekalkan barangan berkaitan dengan kesihatan.
Sehubungan itu katanya, KKM sentiasa berhubung rapat dengan pasukan Palang Merah di negara bergolak itu bagi mendapatkan maklumat lanjut.
Selain itu jelasnya, kerjasama juga akan dilakukan bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk Mercy serta agensi kerajaan lain.
“Semalam (Selasa) kami juga keluarkan kenyataan untuk terus hantar menyediakan bantuan kemudahan perubatan kerana ramai yang berdepan kecederaan yang tinggi di sana,” ujarnya. – JURNAL