Menu penjara yang terdiri daripada nasi, ikan goreng, sayur-sayuran dan kuah sup menjadi tular gara-gara kemunculan Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun yang semakin ‘slim’.
Siti Bainun atau Siti Bainun Ahd Razali yang semakin kurus menarik perhatian ramai pihak ketika hadir untuk pendengaran rayuan di Mahkamah Tinggi, pada Selasa.
Difahamkan, berat badan wanita berusia 31 tahun itu mencecah 150 kilogram ketika mula menjejakkan kaki ke tirai besi, 3 Mei lalu namun kini menyusut kepada 90kg sahaja.
Ini bermakna, dia yang menjalani hukuman 12 tahun di Penjara Kajang selepas didapati bersalah mengabai dan menganiaya remaja sindrom Down, Bella mengalami penurunan berat badan 60kg dalam masa enam bulan.
Susulan itu, di media sosial ramai yang mula berkongsi foto ‘menu penjara’ dan berpendapat Siti Bainun kurus kerana pengambilan makanan yang seimbang.
Rata-rata netizen mula membincangkan untuk menukar gaya makan kepada yang lebih sihat dan seimbang.
Terdahulu, dalam prosiding semalam, Hakim Datuk Noorin Badaruddin menangguhkan pendengaran rayuan hukuman serta sabitan dan menetapkan 7 Disember ini bagi bagi pengurusan kes.
Ini kerana peguam Haijan Omar yang mewakili Siti Bainun selaku perayu memaklumkan terdapat nota keterangan daripada saksi pembelaan kelapan yang belum lengkap.
“Justeru pihak kami memohon satu tarikh lain bagi pengurusan kes seterusnya,” kata peguam itu.
Pendakwaan selaku responden diwakili Timbalan Pendakwa Raya Nor Azizah Mohamad.
Pada 3 Mei lalu, Mahkamah Sesyen di sini memerintahkan Siti Bainun menjalani hukuman penjara 12 tahun selepas didapati bersalah atas dua pertuduhan mengabai dan menganiaya Bella, 13, di sebuah unit kondominium di Wangsa Maju antara Februari dan Jun 2021.
Mahkamah turut memerintahkan Siti Bainun menandatangani bon berkelakuan baik selama lima tahun dengan seorang penjamin berserta cagaran RM5,000.
Dia juga diarah melaksanakan khidmat masyarakat selama 200 jam yang perlu disempurnakan dalam tempoh enam bulan selepas tamat hukuman penjara.
Pada 23 Mei, Mahkamah Tinggi menolak permohonannya untuk menangguhkan hukuman penjara kerana tiada keadaan khas mewajarkan pengasas Rumah Bonda itu dilepaskan sementara menunggu rayuan sabitan serta hukuman didengar.
Ini bermakna wanita berusia 31 tahun itu kekal dipenjarakan sementara menunggu rayuan terhadap sabitan dan hukuman diputuskan oleh Mahkamah Tinggi. – JURNAL