Susulan didapati bersalah atas tuduhan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengosongkan jawatan Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), serta-merta.
Menerusi satu kenyataan media pada Khamis, beliau turut mengumumkan jawatan tersebut akan dipangku oleh Timbalannya, Amira Aisya Abd Aziz.
“Berikutan dengan keputusan mahkamah pada hari ini, saya ingin mengumumkan untuk mengosongkan jawatan Presiden Parti Muda sementara saya membersihkan nama di peringkat Mahkamah Rayuan.
“Dengan keputusan yang dibuat, saya tidak akan terlibat dalam apa-apa perbincangan membuat keputusan dalam parti sementara saya membersihkan nama dalam proses mahkamah.
“Walaupun begitu, saya akan terus menggalas mandat rakyat sebagai Ahli Parlimen tunggal bagi parti Muda,” katanya yang juga merupakan Ahli Parlimen Muar.
Walaupun melepaskan kerusi Presiden, Syed Saddiq menegaskan beliau tetap akan terus menggalas tugas sebagai ahli MUDA.
“Saya berharap di bawah pimpinan baru, parti Muda akan lebih maju ke hadapan dan terus lantang memperjuangkan suara rakyat,” ujarnya.
Terdahulu, Syed Saddiq dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun dan RM10 juta denda dan dua kali sebatan selepas didapati bersalah atas semua pertuduhan bersubahat dalam pecah amanah jenayah (CBT), penyelewengan dana dan pengubahan wang haram. – JURNAL