Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin menegaskan tindakan dua lagi Ahli Parlimen Bersatu menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri adalah bercanggah dengan pendirian parti.
Beliau menerusi kenyataan di laman sosial Facebook berkata, tindakan tersebut adalah pelanggaran disiplin parti yang serius.
Tambah beliau lagi, ia turut membelakangi mandat rakyat yang memilih mereka atas dasar keyakinan terhadap prinsip perjuangan Perikatan Nasional.
Justeru katanya, Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu akan mengadakan mesyuarat tergempar malam ini untuk membincangkan tentang perkara tersebut.
“Saya mendapat maklumat bahawa terdapat gerakan terancang daripada parti lawan untuk melemahkan Bersatu dan Perikatan Nasional dengan menggunakan sogokan dan ugutan terhadap Ahli-Ahli Parlimen.
“Bersatu tidak akan tunduk terhadap pakatan jahat ini dan tindakan yang lebih tegas akan diambil.
“Saya menyeru ahli-ahli Bersatu supaya kekal tenang dan istiqamah mempertahankan prinsip perjuangan parti sementara kepimpinan tertinggi Bersatu menangani perkara ini,” katanya.
Selasa lalu, ahli Parlimen Gua Musang, Mohd Aziz Abu Naim dan, semalam ahli Parlimen Jeli, Zahari Kechik daripada Bersatu merupakan dua wakil rakyat terbaharu yang menyatakan sokongan terhadap Anwar.
Sebelum ini Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid dan Ahli Parlimen Labuan, Suhaili Abdul Rahman masing-masing mengumumkan sokongan mereka pada 12 dan 30 Oktober lalu. – JURNAL