Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menjadi wakil rakyat pertama dikenakan hukuman sebatan bagi kesalahan jenayah kolar putih.
Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) ini dikenakan hukuman berkenaan selepas Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis didapati dia bersalah atas empat pertuduhan bersubahat pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram (AMLA).
Selain sebatan, bekas menteri termuda tanah air yang berusia 31 tahun ini, turut dihukum penjara tujuh tahun dan denda RM10 juta.
Berbeza dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang kini berusia 70 tahun, dia dihukum penjara selama 12 tahun dan denda RM210 juta tanpa sebatan kerana usianya sudah melangkaui setengah abad.
Dia dikenakan hukuman tersebut didapati bersalah terhadap tujuh tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd (SRC).
Difahamkan, sabitan hukuman sebatan juga dikecualikan kepada pesalah wanita atau individu yang berusia lebih 50 tahun.
Anak bongsu daripada empat beradik ini turut kelihatan sugul ketika sidang media diadakan di lobi Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.
Lebih-lebih lagi sejurus dipeluk kedua ibu bapanya, Shariffah Mahani Syed Abdul Aziz dan Syed Abdul Rahman Abdullah Asagoff sambil ditemani puluhan penyokongnya. – JURNAL
Sumber: SINAR HARIAN