Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menghubungi Ketua Biro Politik Hamas, Ismail Haniyeh bagi menyatakan sokongan terhadap rakyat Palestin yang kini berdepan situasi sukar.
Abdul Hadi menekankan, apa yang sedang berlaku ketika ini merupakan bibit-bibit permulaan kepada sebuah kemenangan besar untuk umat Islam.
Katanya lagi, Malaysia secara keseluruhannya berpihak kepada Palestin dan menegaskan, rejim Zionis sedang melakukan pembunuhan besar-besaran di Gaza.
“Ismail Haniyeh menghargai sokongan kuat dari Pas dan Malaysia yang secara rasmi dan terbuka menyokong hak rakyat Palestin mempertahankan tanah kediaman mereka dan melancarkan kempen sumbangan untuk rakyat Palestin.
“Beliau menyeru kepada media-media agar terus menyokong Palestin, mendedahkan jenayah perang Zionis, menafikan naratif mereka,” katanya menerusi hantaran di Facebook, Pas Pusat, pada Selasa.
Pas sebelum ini melancarkan kutipan dana #Aid4Palestine 2.0 di Terengganu sebagai usaha membantu rakyat di negara itu yang ditindas negara tidak diiktiraf Israel.
Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa dan Hubungan Luar Pas Pusat, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, usaha itu sebagai tanda solidariti dalam menyokong bantahan terhadap kekejaman dilakukan rejim Zionis kepada Palestin.
“Ia merupakan satu platform untuk mengumpulkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan ia terbuka kepada semua NGO tanpa mengira parti untuk sama-sama membantu rakyat Palestin,” katanya. – JURNAL