MYTV Broadcasting Sdn Bhd (MYTV) menggantung penyiaran saluran televisyen swasta, Awesome TV di platformnya berkuat kuasa 2 November ini.
MYTV menerusi kenyataan hari ini memaklumkan, penggantungan itu terpaksa dilakukan disebabkan isu pembayaran fi akses.
“Keputusan penggantungan berkuat kuasa 2 November 2023 dicapai disebabkan isu komersial berterusan di antara MYTV dan Awesome TV walaupun pelbagai usaha dilakukan di antara kedua-dua pihak untuk menyelesaikannya.
“Penggantungan Awesome TV ini amat dikesali dan kami dengan ikhlas memohon maaf kepada semua penonton,” katanya.
Menurut kenyataan itu lagi, MYTV komited menyampaikan kandungan yang berkualiti menerusi platformnya.
Katanya, MYTV juga akan terus menawarkan akses kepada pelbagai program menarik untuk penonton.
“Kami menghargai sokongan penonton ketika ini dan memberi jaminan kami sedang berusaha mencari jalan penyelesaian untuk semua pihak,” katanya.
Mei lalu, Awesome TV dipanggil Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) kerana menerbitkan kandungan berita yang melanggar undang-undang.
Saluran TV itu yang disiarkan di MYTV dan Astro, didakwa menerbitkan kandungan berita yang melanggar peraturan sebanyak enam kali, termasuk fitnah terhadap kerajaan. – JURNAL