Rakyat Malaysia, Nurul Ain Haron yang kini berada di di Semenanjung Gaza meluahkan rasa terkilan terhadap segelintir wargamaya yang tidak sensitif dengan apa yang sedang berlaku.
Nurul Ain berkata, ada segelintir warganet yang menghantar mesej (DM) dan mahu menelefonnya hanya kerana mahu mendengar bunyi bom.
“Assalamualaikum dan selamat sejahtera. Dekat sini saya nak mintak tolong sikit, sikit sangat-sangat…Boleh tak korang jangan telefon saya dan minta nak dengar bom.
“Boleh tak sensitif sikit dengan perkara ni? Korang ingat benda tu main-main ke? Nak dengar bom? So korang doakan kitaorang kena bom ke?
“Saya tak faham dengan orang-orang macam ni, keadaan sangat susah dan genting di sini dan korang boleh minta saya nak dengar bom? Astaghfirullahal-azim…,” luahnya dalam nada kecewa.
Hantaran tersebut dibuat Nurul Ain menerusi sebuah video yang dimuat naik di Facebook miliknya.
Nurul Ain berkata, keadaan di Gaza sangat genting dan dia juga terpaksa berpatah balik dan menangguhkan hasrat untuk mengagihkan barang bantuan kerana terdengar bunyi letupan bom.
Diruangan komen, rata-rata warganet turut menyelar tindakan individu tidak bertanggung jawab tersebut.
Mereka turut mendoakan Nurul Ain dan suami sentiasa berada dalam lindungan Allah dan tidak melayan perkara-perkara negatif seumpama itu.
Terdahulu, Nurul Ain dan suaminya, Mohamed Adan Shaat tidak sempat meninggalkan kawasan bergolak di Sempadan Gaza apabila Israel mungkir janji untuk tidak menyerang sempadan Rafah.
Nurul Ain dan suami kini berlindung di rumah mentua, Khan Younis selepas tiba di negara itu pada 1 Oktober lalu.
Menurutnya yang berasal dari Keramat, itu kali pertama dia pulang ke kampung halaman suami di Gaza selepas enam tahun berkahwin. – JURNAL