Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan Israel sebagai gila dan hilang perikemanusiaan apabila mengebom hospital di Gaza sehingga mengorbankan 500 nyawa.
Perdana Menteri turut menyuarakan rasa kesalnya terhadap negara Barat yang berat sebelah dalam hal itu.
“Perkembangan terkini mengenai serangan Israel itu agak keterlaluan, saya juga turut mengulangi beberapa kenyataan yang telah dibuat mendukung beberapa kenyataan sesetengah pimpinan negara luar yang menyatakan kesal dan mengecam pengeboman hospital Gaza.
“Apa pun yang dituduh siapa pun maknanya ini kesan dari serangan dan perang, sebab itu kita katakan sebaiknya hentikan.
“Ini masa untuk kita redakan keadaan dan hentikan, kalau teruskan ini, mangsanya wanita, anak-anak, pesakit ini sudah sampai ke tahap gila dan hilang perikemanusiaan.
“Dan yang paling dikesalkan ialah negara Barat yang bercakap soal hak kemanusiaan ini rupanya ada kategori, ada manusia kelas satu, ada manusia kelas hamba dan ini kita bantah sekeras-kerasnya,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menyampaikan ucapan pembukaan dan merasmikan Simposiun Laluan Ke Arah Kesejahteraan Lebih Baik Untuk Malaysia, hari ini.
Menurut laporan saluran televisyen Al Jazeera hari ini, sebuah hospital di tengah Gaza yang sarat dengan pesakit dan pelarian Palestin dibom askar Zionis, menyebabkan lebih 500 orang terbunuh.
Pihak berkuasa mengesahkan angka kematian itu adalah tertinggi membabitkan serangan tentera Israel dalam masa sehari sejak 2008.
Mengulas lanjut Anwar berkata, beliau akan ke Riyadh, Arab Saudi esok bagi menghadiri persidangan tetap di antara Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan ASEAN, dengan mengadakan perbincangan khusus mengenai tindakan yang perlu diambil terhadap kezaliman Israel ke atas rakyat Palestin.
“Selepas GCC, Perdana Menteri, Putera Mahkota Mohammed bin Salman meminta saya hadir untuk lawatan sehari untuk berbincang.
“Saya akan fikirkan keperluan untuk berbincang dengan beberapa kepemimpinan sama ada saya perlu jelajah ke beberapa negeri atau melalui telefon saja,” katanya.
Ditanya mengenai status pasukan pengaman Malaysia di Lubnan, Anwar berkata, keputusan untuk mengekalkan pasukan pengaman itu adalah keputusan bersama dibuat dengan Pertububan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).
“Kalau keadaan keselamatan itu dapat terjamin kita akan teruskan kalau tidak kita akan bawa pulang,” katanya.