Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, menegaskan tindakan seorang jurulatih menampar pemain bola tampar remaja perempuan dalam rakaman video yang tular adalah salah.
Beliau berkata, pihaknya sedang mendapatkan maklumat lanjut mengenai kejadian itu.
“Ini adalah salah! Saya telah bercakap dengan Menteri Pendidikan dan sedang mendapatkan maklumat lanjut berkenaan insiden itu,” tegasnya.
Hannah menyuarakan hal itu menerusi ciapan yang dimuatnaiknya di laman Twitter pada Ahad.
Dalam pada itu, Persatuan Bola Tampar Malaysia (Mava) dalam satu kenyataan pada Ahad mengesahkan kejadian berlaku semasa Kejohanan Bola Tampar Remaja Bawah 14 tahun di Kota Tinggi, Johor.
“Lembaga Disiplin Mava mengambil perhatian serius berkenaan klip video yang melibatkan jurulatih pasukan Melaka B-14 (Wanita) yang didapati menampar dua atlet wanita pimpinannya.
“Jurulatih terbabit telah pun digantung daripada melibatkan diri di dalam semua aktiviti kebangsaan,” kata Mava memetik kenyataan dikeluarkan.
Dalam video tular yang berdurasi 21 saat, jurulatih itu dilihat jelas menampar dua pemainnya sebelum memberi kata-kata kepada atlet pasukannya.
Kejadian dipercayai berlaku semasa perlawanan tempat ketiga dan keempat bagi kategori wanita antara pasukan Melaka dan Johor di SJK (C) Pei Hwa. – JURNAL