Pasukan Palestin terpaksa menarik diri daripada menyertai edisi ke-42 Pesta Bola Merdeka, kerana tidak dapat terbang ke Kuala Lumpur ekoran situasi tegang di negara berkenaan ketika ini.
Perkara tersebut diumumkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), pada Selasa.
Bagaimanapun FAM menerusi kenyataannya berkata, format pertandingan Pestabola Merdeka 2023 adalah dikekalkan biarpun ia kini disertai hanya tiga pasukan iaitu, Malaysia, India dan Tajikistan.
Berdasarkan jadual asal, Palestin dijadual bertemu Tajikistan (4.30 petang) manakala Malaysia berdepan India (9.00 malam) pada Jumaat, 13 Oktober ini.
Sementara dua pasukan yang tewas akan merebut tempat ketiga (4.30 petang) manakala dua pasukan yang menang akan ke Final (9.00 malam) pada Selasa, 17 Oktober.
Kesemua empat perlawanan tersebut di jadualkan berlangsung di Stadium Nasional, Bukit Jalil.
Namun berdasarkan situasi terbaharu, Malaysia kekal bertemu India seperti yang dijadualkan sebelum ini.
Manakala, Tajikistan mendapat ‘bye’ dan mara ke pusingan final secara automatik untuk bertemu pemenang dalam perlawanan antara Malaysia dan India.
Ini bermakna, hanya satu perlawanan akan berlangsung pada Jumaat dan Selasa tanpa perlawanan penentuan tempat ketiga.
Perubahan format tersebut adalah solusi terbaik yang telah dicapai pada mesyuarat khas di antara FAM selaku penganjur Pestabola Merdeka 2023, bersama pengurusan pasukan India dan Tajikistan, pagi tadi selepas mengambil kira kekangan masa berikutan penarikan diri pasukan Palestin.
Sementara itu, untuk bersikap adil kepada kira-kira 25,000 penyokong yang telah membeli tiket bagi menyaksikan dua hari perlawanan (13 dan 17 Oktober), FAM mengambil keputusan untuk mengekalkan harga tiket (bagi semua kategori).
Tiket-tiket masih boleh dibeli di https://bit.ly/tiketpestabola dan penjualan tiket hanya secara dalam talian iaitu tiada penjualan tiket secara fizikal di stadium pada hari perlawanan nanti. – JURNAL