Bekalan air di kesemua kawasan terjejas di wilayah Petaling, Kuala Lumpur, Hulu Langat dijangka pulih sepenuhnya pada pukul 12 tengah hari, Khamis ini.
Menurut Air Selangor, tempoh masa gangguan dan pemulihan bekalan air di kawasan-kawasan yang terjejas adalah berbeza bergantung kepada jarak lokasi premis pengguna dan tekanan air pada sistem agihan bekalan air.
“Kerja-kerja penambahbaikan, penyenggaraan dan penggantian aset di Loji Rawatan Air Sungai Langat (LRA Sg Langat) telah dimulakan pada pukul 9 pagi hari ini mengikut jadual seperti yang telah dimaklumkan pada 26 September lepas.
“Kerja-kerja penambahbaikan, penyenggaraan dan penggantian aset ini dijangka akan siap pada pukul 10 malam hari ini.
“Bekalan air akan mula disalurkan secara berperingkat-peringkat kepada para pengguna setelah sistem bekalan air distabilkan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Sebelum ini, media melaporkan, sebanyak 338 kawasan di Petaling, Kuala Lumpur dan Hulu Langat dijangka mengalami gangguan bekalan air berjadual bermula pukul 9 pagi ini.
Sebanyak 37 kawasan terjejas di Petaling, Kuala Lumpur (201) dan Hulu Langat (100).
Tambah Air Selangor, pihaknya sudah menggerakkan lori-lori tangki air ke kawasan-kawasan yang terjejas dengan memberikan keutamaan kepada premis-premis kritikal seperti hospital, klinik, pusat dialisis dan upacara pengebumian.
Jelasnya, bantuan bekalan air alternatif menerusi tujuh Pusat Khidmat Setempat (PKS) turut disediakan untuk kemudahan pengguna di lokasi yang tersenarai seperti berikut.
“Bagi pelanggan komersial pula, bekalan air terawat boleh dibeli di mana-mana kaunter khidmat pelanggan di seluruh wilayah Air Selangor.
“Bagi tujuan ini, pelanggan komersial boleh menggunakan lori tangki air masing-masing di dua stesen pengisian air yang akan dibuka di Sunway Batu Caves dan Selayang Mutiara.
“Para pengguna boleh mendapatkan maklumat berhubung gangguan bekalan air berjadual ini daripada semasa ke semasa menerusi saluran komunikasi rasmi https://waterupdates.airselangor.com/.
“Para pengguna juga boleh mendapatkan maklumat dari saluran komunikasi rasmi alternatif seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan X atau hubungi Air Selangor di talian 15300 atau layari www.airselangor.com,” katanya. – JURNAL