Bintang bola sepak terkenal dunia, Cristiano Ronaldo akhirnnya sah bergelar pemain untuk kelab Arab Saudi, Al-Nassr seperti yang diumumkan kelab itu pada Jumaat.
Ronaldo dilaporkan bersetuju dengan tawaran kontrak lumayan bernilai RM922 juta setahun bersama kelab tersebut.
Menerusi kenyataan media itu, Ronaldo, 37, berkata, dia teruja untuk menyertai perlawanan liga bola sepak baharu di negara berbeza selepas meraih pelbagai kejayaan manis ketika bermain untuk liga bola sepak Eropah.
“Saya bertuah kerana saya telah meraih segala-galanya yang diimpikan untuk menang di arena bola sepak Eropah dan rasanya sekarang adalah masa sesuai untuk berkongsi pengalaman di Asia pula.
“Saya tidak sabar untuk menyertai rakan sepasukan yang baharu dan bersama-sama mereka membantu kelab untuk mencapai kejayaan.
“Visi tentang apa yang dilakukan dan dibangunkan oleh Al Nassr di Arab Saudi sama ada dari segi bola sepak lelaki dan wanita sangat memberi inspirasi.
“Kita boleh lihat daripada prestasi Arab Saudi di Piala Dunia baru-baru ini bahawa mereka merupakan sebuah negara berpotensi tinggi dalam acara sukan ini,” pujinya.
Terdahulu, bapa kepada lima cahaya mata itu sah meninggalkan kelab ternama dunia, Manchester United dengan penuh kontroversi pada bulan lalu. – JURNAL