Kedai makanan laut di bandar raya ini yang didakwa mengenakan bayaran mahal diberi notis oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor.
Pengarahnya, Lilis Saslinda Pornomo berkata, tindakan diambil mengikut Seksyen 12 Akta Perlindungan Pengguna iaitu harga yang mengelirukan.
Beliau berkata, premis juga diberi notis mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 supaya mengemukakan maklumat untuk pengiraan pencatutan.
“Kelmarin kedai makan itu ditutup, oleh itu pemantauan dilakukan semalam.
“Penguat kuasa sudah memantau harga dan operasi kedai makan itu dan sudah mengambil tindakan sesuai. Bagaimanapun kes masih dalam siasatan,” katanya ketika dihubungi.
Semalam, media melaporkan Ekin Rahmat yang juga isteri kepada penyanyi dan penyampai radio, Mawi mengakui terkejut dengan harga dikenakan sebuah kedai makanan laut yang dikunjunginya di bandar raya ini bersama ahli keluarga pada 30 September lalu.
Mereka terdiri daripada 12 dewasa, selain enam kanak-kanak yang berusia antara dua tahun hingga warga emas berusia 80-an.
Ekin atau nama sebenar Nora’Asikin Rahmat berkata, dia hanya memesan dua ekor ikan yang bersaiz sederhana dan beberapa menu makanan laut namun terkejut selepas melihat resit harga yang dikenakan kedai terbabit.
Mereka juga didakwa tidak meletakkan tanda harga dan menyatakan hanya ikut harga pasaran.
Sebelum ini pemilik kedai makan turut tampil membuat penjelasan di laman sosial Facebooknya.
Menerusi video yang dimuat naik, wanita berkenaan turut memperincikan setiap caj yang dikenakan terhadap Ekin dan menyatakan kira-kira 20 ahli keluarganya mengunjungi kedai.
Menurutnya, antara menu yang dipesan oleh Ekin dan keluarganya ialah pari bakar, siakap tiga rasa, siakap stim, udang butter, sotong goreng tepung, ketam telur masin, ketam cili dan siput gonggong.
“Saya pemilik gerai nombor 14, tujuan video ini bagi memberi pencerahan berkaitan video yang dimuat naik di media sosial.
“Sekiranya masih tidak jelas, bolehla datang jumpa makcik,” katanya. – JURNAL
Sumber: HARIAN METRO