Seorang wanita warga emas tampil membuat penjelasan selepas menyedari kedai makanan laut miliknya viral kerana didakwa terlalu mahal.
Penjelasan tersebut dimuat naik anaknya, Mohd Yusof Abdullah di laman sosial Facebook (FB) untuk mengelak salah faham.
Menerusi hantaran tersebut Mohd Yusof turut menyebut nama penyampai radio dan penyanyi Mawi bersama isterinya Ekin.
Kata Mohd Yusof, Mawi dan Ekin boleh bertemu dengannya jika masih kurang jelas mengenai harga makanan selepas penjelasan dibuat.
Dalam video yang dibuat naik Mohd Yusof, ibunya yang juga pemilik Gerai Makanan Laut Dol Mat menjelaskan, selebriti tersebut ke gerainya untuk menjamu selera pada petang Sabtu lalu, 30 September.
Menurut wanita yang dikenali sebagai Mak Wati itu, selebriti tersebut membuat pesanan untuk 20 orang makan termasuk kanak-kanak.
Kata Mak Wati, mereka telah memesan empat hidang nasi, tiga hidang sayur, tiga ekor ikan pari bakar, dua ekor siakap tiga rasa, seekor ikan siakap stim, tiga hidang udang mentega, tiga hidang sotong celup tepung, satu hidang ketam cili dan ketam telur masin, telur dadar lima hidang, satu pek siput gonggong serta minuman termasuk otak-otak.
Kesemua harga makanan tersebut dijelaskan Mak Wati menerusi sebuah video dan setiap harga dipecah-pecahkan mengikut hidangan dan berat (gram).
Di ruangan komen, rata-rata pengikut yang pernah mengunjungi gerai Mak Wati memaklumkan, harga yang dikenakan terhadap selebriti tersebut sangat berpatutan tambahan lagi pesanan dibuat juga banyak.
Kata mereka, Mak Wati seorang peniaga yang baik hati dan tidak pernah mempunyai masalah sepanjang berniaga di Anjung Selera Tengku Peti, yang terletak di Johor Bahru itu.
Terdahulu, tular di media sosial bil makanan di kedai makanan laut yang terletak di anjung selera tersebut mahal sehingga mencecah RM1,261. – JURNAL