Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad enggan memanjangkan isu mengenai Indonesia yang menafikan masalah jerebu kini disebabkan negara mereka.
Malah kata Nik Nazmi, buat masa ini pihak Kementerian memberi fokus untuk menyelesaikan isu ini terlebih dahulu.
Tambah Nik Nazmi lagi, pihak kementerian juga tidak menerima sebarang laporan kebakaran besar dalam negara yang boleh dikaitkan dengan keadaan berjerebu ketika ini.
Katanya, laporan kebakaran hutan besar-besaran kali akhir diterima kementerian ialah pada Mei lalu, namun jerebu yang melanda ketika ini berpunca dari negara luar berdasarkan data diperoleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).
“Kementerian juga telah berkongsi data (jerebu) dengan negara ASEAN dan pada masa sama, mengingatkan dan menghantar surat kepada syarikat pengusaha ladang Malaysia yang beroperasi di Indonesia supaya tidak melakukan pembakaran secara terbuka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa mengadakan lawatan ke Taman Didik Hibur Wetland Studios, Putrajaya, pada Selasa.
Terdahulu, Kementerian Alam Sekitar Indonesia menafikan dakwaan kebakaran hutan di Sumatera dan sebahagian pulau Borneo yang menyelubungi beberapa bandarnya dengan jerebu tebal, turut menjejaskan kualiti udara di Malaysia.
Jumaat lalu, Malaysia mengeluarkan amaran tahap pencemaran tinggi di kebanyakan kawasan di barat Semenanjung dan barat Sarawak dengan menyalahkan jerebu rentas sempadan dari Indonesia.
Nik Nazmi berkata, pengusaha ladang Malaysia di Indonesia memberi kerjasama positif kebelakangan ini berkait usaha mengelak melakukan pembakaran terbuka.
Mengenai operasi pembenihan awan, beliau memaklumkan, proses itu akan dilakukan jika indeks pencemaran udara (IPU) melebihi 150 bagi tempoh lebih 24 jam, tertakluk pada kehadiran awan dan cuaca yang sesuai.
“Kementerian dan setiap agensi terlibat dalam pengurusan bencana akan sentiasa bertindak lebih cepat dan responsif sekiranya jerebu semakin buruk,” katanya. – JURNAL