Dalam tempoh 4 bulan pertama pengoperasiannya, Wetland Studios Putrajaya (WSP), sebuah taman tema didik hibur (edutainment) telah berjaya menarik lebih daripada 100,000 pengunjung warga tempatan dan warga asing.
Ini sekaligus menjadikan taman tema berteknologi tinggi itu sebagai destinasi pelancongan terbaharu yang popular di Putrajaya.
Sejak dibuka pada 26 Mei lalu, WSP mempromosikan kesedaran pemuliharaan alam sekitar dan perlindungan hidupan liar kepada para pengunjungnya.
Dipenuhi dengan pelbagai jenis tarikan, WSP pasti menjadi tempat liburan dan rekreasi pilihan keluarga terutama mereka yang memiliki anak-anak.
Melalui pengalaman fizikal dan maya di WSP, pengunjung akan mendapat pemahaman saintifik yang menghiburkan melalui watak-watak animasi tentang pelbagai spesies hidupan seperti mamalia, reptilia, amfibia, ikan, serangga, pokok, bunga dan sebagainya serta bagaimana air memainkan peranan utama bagi menyokong ekosistem kehidupan di bumi.
Pengerusi Eksekutif, Wetland Studios Sdn Bhd. Datuk Norman Abdul Halim, berkata, kejayaan WSP adalah hasil kerjasama baik awam-swasta khususnya sokongan padu dari Perbadanan Putrajaya.
“Inisiatif Wetland Studios dalam mempromosikan pemuliharaan alam sekitar tidak dihadkan kepada tarikan di dalam bangunan semata-mata.
“Pihak kami kini sedang dalam proses menambah baik pengalaman pengunjung di persekitaran Taman Wetland Putrajaya dengan penggunaan teknologi hijau seperti perkhidmatan lawatan berpandu kenderaan elektrik “autonomous”, demonstrasi penggunaan tenaga solar serta penganjuran acara sukan dan hiburan bertemakan pemuliharaan alam sekitar mulai Disember 2023.
“Wawasan kami adalah menjadikan Wetland Studios Putrajaya sebagai pusat eko-pelancongan bertaraf dunia serta hab demonstrasi teknologi hijau menjelang tahun 2027,” katanya.
Norman berkata demikian ketika Majlis Penghargaan Wetland Studios Putrajaya Sebagai Pusat Sumber Pemuliharaan Alam Sekitar, pada petang Selasa.
Majlis tersebut dirasmikan Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad. Turut hadir, Presiden Perbadanan Putrajaya, Datuk TPr. Fadlun Mak Ujud.
Nik Nazmi berkata, inisiatif diambil WSP untuk mempromosikan pemuliharaan alam sekitar dan pelindungan hidupan liar selaras dengan matlamat kerajaan ke arah pembangunan teknologi hijau untuk mewujudkan ekosistem yang lebih kondusif dan mampan.
“Pihak kami mengalu-alukan inisiatif yang diambil oleh Wetland Studios Putrajaya dan Perbadanan Putrajaya dalam mempromosikan pemuliharaan alam sekitar dan perlindungan hidupan liar.
“Ianya selaras dengan matlamat kerajaan ke arah pembangunan teknologi hijau untuk mewujudkan ekosistem yang lebih kondusif dan mampan.
“Inisiatif ini bukan sahaja memberi kesedaran kepada orang ramai tetapi menggalakkan pembangunan sosioekonomi negara.
“Pihak kami berharap lebih banyak penglibatan sektor awam dan swasta, badan bukan kerajaan dan individu akan tampil ke depan dan menyokong aktiviti-aktiviti di Wetland Studios Putrajaya,” katanya.
Pada majlis tersebut, Nik Nazmi turut dibawa melawat sekitar kompleks bangunan Wetland Studios Putrajaya.
WSP terletak di Taman Wetland Putrajaya, iaitu sebuah taman rekreasi yang menempatkan tanah becah air tawar buatan manusia yang terbesar di kawasan tropika yang berfungsi dengan baik untuk menapis bahan cemar.
Dengan kriteria ini jugalah, Tasik dan Wetland diiktiraf sebagai Tapak Demonstrasi Ekohidrologi UNESCO sejak 2010, dan merupakan satu-satunya tapak di Malaysia yang mendapat pengiktirafan berprestij tersebut.
Taman Wetland Putrajaya, dibawah pengurusan Perbadanan Putrajaya juga telah memenangi pelbagai anugerah di peringkat tempatan dan antarabangsa sejajar dengan konsep pembangunan Putrajaya sebagai Bandaraya Pintar Dalam Taman.
Wetland Studios Putrajaya dibuka setiap hari mulai 10 pagi sehingga 7 malam pada hujung minggu, cuti awam dan cuti persekolahan dan, 10 pagi sehingga 6 petang pada hari biasa. Untuk maklumat lanjut mengenai Wetland Studios Putrajaya, layari www.wetlandstudios.com. – JURNAL