Seramai hampir 10,000 jemaah hadir ke Program Munajat Sempena Ambang 2023 anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sebentar tadi di Masjid Putra Putrajaya, malam tadi.
Jakim menerusi hantaran di Facebook berkata program yang turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendapat sambutan yang begitu menggalakkan.
“Meskipun sambutan ambang tahun baru yang lazimnya diraikan di Dataran Merdeka telah dibatalkan, ia tidak menghalang masyarakat daripada meraikannya secara penuh hikmah.
“Pelbagai aktiviti dijalankan seperti munajat di masjid dan mesejnya tidak semata-mata ditujukan kepada umat Islam sahaja,” menurut Jakim.
Dalam pada itu, Anwar sempat meninggalkan amanat tahun baru yang menegaskan perutusan yang disampaikan dari Masjid Putra itu bersifat terbuka untuk semua rakyat tidak mengira agama dan kaum.
Turut hadir pada majlis tersebut, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Kehadiran Anwar dan Zahid disambut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr Na’im Mokhtar, Ketua Pengarah Jakim, Datuk Hakimah Mohd Yusoff, Timbalan-timbalan Ketua Pengarah Jakim, Pengarah Jawi dan pegawai-pegawai tinggi kerajaan.
Solat Maghrib dan bacaan Yassin dipimpin oleh Salahuddin Ghozali, Imam Besar, Masjid Putra, Putrajaya, manakala bacaan doa pula dipimpin oleh Dr Na’im. – JURNAL