Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, hari ini, memerintahkan pekerja restoran yang berdepan tuduhan mengendap dan melakukan gangguan berulang terhadap pembaca berita wanita, mendapatkan status kesihatan mental terlebih dahulu.
Ia berikutan selepas pertuduhan dibacakan ke atas tertuduh, Muhammad Azhari @ Azari Abdul Rahman, 55, oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Atiqah Mohamed @ Mohamad Saim, lelaki itu dilihat berulang kali menyatakan dia hanya mahu berjumpa mangsa saja.
“Saya mahu jumpa dia saja,” katanya.
Atiqah membuat keputusan itu selepas peguam, Mohamad Zaidi Othman yang mewakili tertuduh memohon lelaki itu dihantar ke hospital untuk mendapatkan status kesihatan mental terlebih dahulu.
Terdahulu, dalam prosiding hari ini, Muhammad Azhari mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Atiqah.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan pengintaian terhadap Ainaa Kamalia Jamaludin, 31, dengan menghantar mesej di media sosial dan berulang kali pergi ke tempat kerja wanita itu di pejabat Awesome TV, Tingkat 18, Menara 2 Bank Rakyat, di sini pada 4 petang, 17 September lalu.
Berikutan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 507A Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Pegawai Pendakwa Asisten Superintendan Muhamad Sapri Yaakub menawarkan jaminan RM3,000 terhadap tertuduh.
Bagaimanapun, Mohamad Zaidi dalam rayuannya menyatakan ahli keluarga tidak berhasrat untuk menjamin dan memohon supaya tertuduh dihantar ke hospital bagi mendapatkan status kesihatan mentalnya.
“Saya ingin membuat permohonan mengikut Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah supaya anak guam di hantar ke hospital berkenaan bagi mendapatkan status kesihatan mentalnya.
“Sebelum ini dia pernah didaftarkan di Jabatan Psikiatri Hospital Kuala Lumpur (HKL) tetapi dia tidak pergi untuk mendapatkan rawatan. Mohon satu tarikh singkat untuk saya dapatkan rekod daripada HKL,” kata peguam itu.
Muhamad Sapri tidak membantah permohonan itu.
Mendengar hujah kedua-dua pihak, Atiqah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 6 Oktober ini untuk mahkamah mendapatkan rekod mengenai kesihatan mental tertuduh. – JURNAL
Sumber: HARIAN METRO