Dua remaja lelaki termasuk seorang daripadanya pelajar tahfiz didakwa di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini atas pertuduhan merogol remaja perempuan berusia 14 tahun, minggu lalu.
Kedua-dua tertuduh, iaitu pelajar tahfiz berusia 16 tahun dan tertuduh berusia 17 tahun, mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Farah Nabihah Muhamad Dan.
Mengikut kertas pertuduhan yang dibacakan secara berasingan ke atas tertuduh, mereka didakwa merogol mangsa yang ketika kejadian berusia 14 tahun enam bulan di sebuah lot di Jalan Gopeng, Kampung Sindu, di sini, kira-kira 4.30 petang, 15 September lalu.
Kedua-dua tertuduh turut berdepan pertuduhan melakukan perbuatan sama di lokasi yang sama pada 16 September, kira-kira 9.30 pagi.
Perbuatan itu adalah kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Inspektor N Ganesan manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam, Mohamad Khazali Yin.
Mahkamah membenarkan kedua-dua tertuduh dijamin RM3,000 dengan seorang penjamin, setiap seorang.
Mahkamah turut menetapkan 1 November depan untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan perubatan mangsa serta dokumen berkaitan lain. – JURNAL
Sumber: HARIAN METRO