Bukan kekal atau hanya naik satu takuk, sebaliknya ranking skuad Harimau Malaya melonjak dua anak tangga untuk berada di kedudukan 134 dunia ketika ini.
Berita gembira itu disahkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang sudah menerima pengesahan rasmi daripada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa) selepas jendela aksi antarabangsa pada September berakhir, hujung minggu lalu.
Kemas kini terbaharu ranking Fifa hari ini, Malaysia di tangga ke-134 dunia, berjaya naik dua anak tangga berbanding 136 pada kemas kini terdahulu pada 20 Julai 2023,” kata kenyataan media FAM itu.
Lonjakan dua anak tangga itu pastinya didorong kejayaan skuad kendalian Kim Pan-gon mengikat dua pasukan di ranking 100 terbaik dunia pada minggu lalu.
Dalam aksi persahabatan Tier 1 baru-baru ini, skuad Harimau Malaya hampir mengejutkan Syria yang berada di tangga ke-94 dunia dengan mengikat pasukan itu 2-2.
Rentak sama dikekalkan pada aksi kedua di Chengdu, China itu apabila hampir memalukan pasukan tuan rumah China yang menghuni kedudukan ke-80 dunia menerusi keputusan seri 1-1.
Pertengahan bulan depan, Malaysia akan beraksi di saingan Pestabola Merdeka membabitkan tiga pasukan di ranking lebih baik iaitu India (102 dunia), Palestin (97 dunia) dan Tajikistan (110 dunia).
Pasukan negara diundi berdepan India dalam aksi pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 13 Oktober nanti dan jika menang, bakal beraksi di final menentang pemenang antara Palestin atau Tajikistan.
Ia sebahagian persiapan skuad negara sebelum menghadapi Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 pada November ini serta pusingan akhir Piala Asia di Qatar Januari depan. – JURNAL
Sumber: HARIAN METRO