Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) memandang serius dakwaan dibuat sebuah laman sesawang pada 25 Disember 2022 berhubung berlakunya kebocoran data.
Menterinya, Fahmi Fadzil berkata, kebocoran data tersebut difahamkan melibatkan tiga pihak iaitu Maybank, Astro dan Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR).
Justeru, KKD melalui Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP) dengan kerjasama CyberSecurity Malaysia (CSM) giat mendapatkan maklum balas daripada Maybank dan Astro bagi memastikan kesahihan pemilikan data.
“Pada masa sama, hasil siasatan ke atas nombor akaun yang terpapar di laman sesawang berkenaan mendapati ia tidak sah kerana tiada sebarang transaksi boleh dilakukan menggunakan nombor tersebut.
“Malah penyiasatan juga mengesyaki data yang didakwa ‘bocor’ itu sebenarnya merujuk kepada satu kes lama mengenai insiden kebocoran yang pernah terjadi pada 2018.
“Walau bagaimanapun, pengesahan pihak berkaitan amatlah wajar supaya siasatan terperinci di bawah Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 [Akta 709] dapat dilakukan,” sarannya. – JURNAL