Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook memaklumkan hidangan makanan panas di dalam penerbangan Malaysia Airlines (MAS) sudah dikembalikan secara beransur-ansur.
Berpeluang menggunakan perkhidmatan penerbangan tersebut hari ini, Loke memuat naik tentang hidangan terkini yang disediakan.
Loke mengambil penerbangan MAS ke Kuching untuk menghadiri mesyuarat Jemaah Menteri dan seterusnya menghadiri sambutan Hari Malaysia pada malam ini.
“Untuk makluman, hidangan makanan panas sudah dikembalikan secara beransur-ansur untuk beberapa sektor termasuk KL-Kuching selepas peralatan tambahan untuk penyediaan makanan in-flight diterima oleh pihak Malaysia Airlines.
“Sudah tentu, hidangan “signature” MH iaitu satay juga disediakan untuk kelas perniagaan.
“Segala kesulitan yang masih dihadapi dalam penerbangan-penerbangan lain amatlah dikesali dan pihak Malaysia Airlines akan berusaha untuk memulihkan keadaan secara sepenuhnya secepat mungkin,” katanya.
Terdahulu Malaysia Airlines Bhd menyasar untuk memulihkan sepenuhnya perkhidmatan hidangan makanan lengkap menjelang pertengahan November tahun ini.
Syarikat penerbangan nasional itu berkata, pengembalian semula perkhidmatan makanan panas di laluan domestik dan antarabangsanya yang terjejas akibat peralihan katering baru-baru ini dipulihkan dengan ketibaan 10 trak lif tinggi baharu lebih awal daripada jadual.
Ia sebelum ini menjangka akan mengembalikan semula tawaran makanan dan minuman panas (F&B) untuk semua penerbangannya mulai minggu ketiga September.
“Malaysia Airlines menjangkakan ketibaan 10 lagi lif tinggi dalam bulan-bulan mendatang, sambil meningkatkan dan memperhalusi komponen makanan pra-pembungkusan secara proaktif dalam tempoh sementara,” katanya dalam satu kenyataan.
Malaysia Airlines berkata, trak lif tinggi adalah bahagian penting dalam keseluruhan proses hidangan makanan dalam pesawat syarikat penerbangan dengan memastikan standard kualiti dan keselamatan makanan terjamin.
Ia berkata, syarikat penerbangan itu akan memastikan bahawa troli makanan berada pada suhu yang betul, mengekalkan kesegaran makanan panas dan ambien, di samping mengekalkan amalan ketat sepanjang proses.
Sejak 11 September lalu, Malaysia Airlines telah memperkenalkan semula hidangan panas ringkas untuk penumpang Kelas Perniagaan di laluan Bangkok dan Denpasar.
Sementara itu, penumpang yang melakukan perjalanan ke destinasi Asia Selatan, Asia Utara dan Australia yang lain akan terus menerima makanan panas yang dipermudahkan di atas kapal.
Pada 1 September lalu, Malaysia Airlines memperkenalkan tawaran makanan dalam penerbangan yang disemak semula pada laluan yang sebelum ini disediakan oleh bekas penyedia kateringnya.
Ia termasuk kacang tanah dan minuman khas, minuman dalam kotak sedia untuk dibawa dengan pastri, coklat, biskut dan minuman yang siap dibungkus atau makanan panas dalam bekas pakai buang dihidangkan dalam dulang yang dipermudahkan.
Kontrak katering yang lama terjalin antara MAB dan Brahim’s Food Services (BFS) berakhir pada 31 Ogos 2023 selepas rundingan meluas antara kedua-dua pihak sejak suku keempat 2022 tidak menghasilkan perjanjian yang baik. – JURNAL