Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menyifatkan tindakan memilih tanggal 16 September ini untuk mengadakan ‘Himpunan Aman Selamatkan Malaysia’, sebagai tidak menghormati sambutan Hari Malaysia, yang signifikan dan sarat dengan semangat saling hormat dan kepatuhan kepada undang-undang.
Beliau berkata pemilihan tarikh itu, jelas menunjukkan rasa tidak hormat terhadap amalan hidup toleransi dan perpaduan antara kaum dan agama di negara ini.
“Mereka juga tidak menghormati kelompok daripada rakan-rakan kita di Sabah, Sarawak, yang mana tarikh itu amat penting sekali kepada mereka.
“Sebaiknya jangan pilih 16 September kerana itu tarikh sambutan Hari Malaysia,” katanya kepada media selepas menghadiri Majlis Sambutan Hari Antipemerdagangan Orang 2023.
Beliau berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) tahu mengenai perhimpunan itu dan akan bertindak mengikut undang-undang.
Media melaporkan ‘Himpunan Aman Selamatkan Malaysia’ yang dijadualkan Sabtu ini, akan bermula dari Masjid Jamek Kampung Baru, Kuala Lumpur. -JURNAL
Sumber: BERNAMA