Selepas tular gambar dan videonya berjalan sambil menggalas beg makanan selepas motosikalnya dikatakan disita dalam satu sekatan jalan raya, pemandu p-hailing tampil menjelaskan cerita sebenar.
Muhammad Shahrul Shah Abu Bakar, mengakui kesilapannya kerana melanggar peraturan jalan raya.
“Saya akui memang salah saya jadi terima saja hukuman malah anggap apa yang berlaku sebagai pengajaran,” katanya.
Berkongsi kisah sebenar, Muhammad Shahrul Shah dari Sungai Pelek, berkata, motosikal ditunggangnya ditahan kemudian disita dalam satu operasi di Jalan Persiaran Negeri di Nilai, Negeri Sembilan kira-kira jam 12 tengah hari, Selasa.
“Ketika itu, saya dalam perjalanan ke tempat kerja kerana syif tengah hari.
“Nak dijadikan cerita, ada operasi sekatan jalan raya dan salah saya kerana cukai jalan sudah tamat tempoh dan tiada insurans.
“Jadi, saya akur, tak melawan malah beri kerjasama dengan serahkan kunci serta motosikal kepada pihak berkuasa untuk disita,” katanya.
Selepas motosikalnya disita, Muhammad Shahrul Shah terus berjalan kerana sudah meminta bantuan seorang rakan mengambilnya di satu tempat.
“Saya ada baca juga komen netizen, ada yang kata saya jalan sejauh empat kilometer (km) tanpa arah.
“Itu semua tak benar kerana saya tak berjalan sejauh itu dan ketika kejadian saya dalam perjalanan menghantar pesanan pelanggan.
“Tapi mungkin ada yang buat penilaian berdasarkan gambar dan video tular,” katanya.
Terdahulu, Video berdurasi 17 saat itu mengundang simpati warganet dengan segelintirnya mengecam pihak berkuasa seolah tidak bertimbang rasa atas kesalahan dilakukan lelaki berkenaan.
BACA: [V] Motosikal Ditahan JPJ, Penghantar Makanan Balik Jalan Kaki
Sebelum itu, Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan Negeri Sembilan Hanif Yusabra Yusuf dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan cukai jalan motosikal ditunggang Muhammad Shahrul Shah didapati sudah tamat tempoh sejak Februari lalu selain tiada insurans.
Menurutnya, tindakan menyita motosikal dilakukan atas tujuan menjaga keselamatan penunggang itu sendiri dan pengguna jalan raya lain kerana tidak dilindungi insurans.
Katanya, sitaan dijalankan ketika Operasi Statik di Jalan Persiaran Negeri, Nilai yang bertujuan mengesan kesalahan lalu lintas dilakukan pengguna jalan raya.
Sepanjang penguatkuasaan itu, pelbagai kesalahan dikesan dan diambil tindakan. – JURNAL
Sumber: HARIAN METRO