Selepas menelusuri perjalanan sepanjang 2,154 kilometer, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengakhiri Kembara Kenali Borneo selama 11 hari, di Telok Melano, Lundu, hari ini.
Konvoi Kembara Kenali Borneo yang tiba pada jam 12.40 tengah hari disambut meriah penduduk yang tinggal di penempatan terakhir di sebelah barat Borneo yang bersempadan dengan Kalimantan Barat, Indonesia itu.
Sejurus tiba, baginda beramah mesra dengan lebih 1,000 penduduk yang sanggup menanti keberangkatan tiba konvoi itu sejak awal pagi.
Baginda kemudiannya berkenan merakam gambar kenangan bersama tiga anakanda iaitu Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah; Tengku Panglima Raja, Kolonel Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah dan Tengku Panglima Perang Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah, di titik sifar Lebuh Raya Pan Borneo di tepi pantai Telok Melano.
Selepas itu, baginda menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Masjid Al-Sultan Abdullah, Telok Melano yang akan dibina dengan peruntukan sebanyak RM5 juta.
Kembara Kenali Borneo bermula dari Tawau, Sabah pada 3 September lalu dengan baginda memandu sendiri kenderaan pacuan empat roda ditemani Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Kembara itu yang menelusuri Lebuh raya Pan Borneo diadakan buat julung kali bagi memberi peluang kepada rakyat Sabah dan Sarawak mendekati Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah serta anakanda baginda.
Bagi rakyat di lokasi yang dilalui konvoi keluarga diraja itu, peluang untuk melihat dengan lebih dekat ketua negara itu sesuatu yang tidak harus dilepaskan.
Justeru, ramai yang sanggup menunggu di tepi jalan bukan sahaja ketika panas terik, malah ada yang tidak berganjak walaupun hujan lebat.
Penduduk Telok Melano, Timah Bani, 62, berkata orang ramai teruja apabila dimaklumkan kampung mereka antara lokasi yang akan dikunjungi baginda.
“Ini mungkin peluang sekali seumur hidup. Belum pernah seorang Raja mengunjungi kampung kami yang terletak di penghujung Borneo ini seperti yang dilakukan Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong ini.
“Baginda berdua memang berjiwa rakyat yang sebenar-benarnya. Ini yang terbukti sepanjang kembara bermula dari Sabah apabila setiap hari menerusi media kita melihat keramahan baginda berdua serta anakanda anakanda mereka di setiap perhentian dan hari ini kami melihat sendiri keramahan mereka itu…syukur alhamdulillah,” katanya. – JURNAL
Sumber: BH ONLINE