Selepas hampir dua minggu bertarung nyawa di Unit Rawatan Rapi (ICU) akibat diserang angin ahmar, penyampai berita, Raymond Goh atau Mohd Zaman Goh meninggal dunia, pagi tadi.
Difahamkan jenazah Allahyarham akan disolatkan di Masjid At-Taqwa, Taman Tun Dr Ismail, selepas solat Asar dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Bukit Kiara, hari ini.
Terdahulu, penyampai berita TV3 itu dilaporkan berada dalam keadaan kritikal selepas diserang angin ahmar dan dimasukkan ke hospital di Petaling Jaya pada 30 Ogos lalu.
Goh memulakan kerjaya sebagai penyampai berita di 7 O’clock News dan kemudian beralih kepada Nightline di TV3.
Allahyarham berkhidmat dalam dunia penyiaran lebih 30 tahun dan kini turut menjadi jurulatih untuk pengucapan. – JURNAL