Sesi perbahasan Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat pagi ini kecoh apabila beberapa Ahli Parlimen pembangkang bangkit mempersoal tindakan Speaker, Tan Sri Johari Abdul yang menolak usul tergempar dibawa Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) semalam.
Usul tergempar berkenaan dibawa Wan Ahmad Fayhsal Jumaat lalu bagi meminta sidang Dewan Rakyat ditangguhkan mengikut Perkara 18(1) dan (2) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat bagi memohon penjelasan daripada Peguam Negara mengenai keputusan mahkamah melepas tanpa membebaskan (DNAA) Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang juga Timbalan Perdana Menteri daripada 47 pertuduhan rasuah berkait Yayasan Akalbudi.
Beberapa wakil pembangkang termasuk Ketua Whip Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan, bangkit selepas diberi ruang oleh Timbalan Speaker, Datuk Ramli Md Nor, menyebabkan aturan asal mesyuarat tertangguh sehingga setengah jam.
Rata-rata mereka mendakwa Johari ketika mempengerusikan sidang Dewan Rakyat semalam, berjanji untuk memberi ruang kepada Ahli Parlimen Machang itu bagi memberi penjelasan terhadap isu mahkamah dihadapi Ahmad Zahid, namun ia tidak ditunaikan.
Justeru, Ahli Parlimen pembangkang menuntut supaya usul berkaitan keputusan melepas tanpa membebaskan (DNAA) Ahmad Zahid daripada 47 pertuduhan berkait Yayasan Akalbudi dibahaskan.
Usul terbaharu itu dikemuka semula Shahidan kepada Speaker Dewan Rakyat di bawah peraturan mesyuarat 18(1) selepas usul sama dikemuka Wan Ahmad Fayhsal Jumaat lalu itu ditolak semalam.
“Saya sudah bawa semula usul itu bersama Machang, kenapa (usul) 18(1) perlu disegerakan untuk kepentingan orang ramai. Kami rasakan ianya perlu dibincangkan sebab semua rakyat Malaysia membuka mulut.
“Parti politik membuka mulut. DAP membuka mulut. Termasuk parti MUDA, PKR serta peguam kanan di negara ini juga membuka mulut supaya Peguam Negara bagi penjelasan mengapa kes ini digugurkan,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata, pihaknya hanya mahukan supaya Peguam Negara memberi penjelasan terhadap hala tuju kes berkenaan, sekali gus menolak sangkaan ramai pihak seolah-olah kerajaan campur tangan dalam kes terbabit.
“Penolakan yang dibuat Speaker (Johari) semalam juga bukan alasan. (Alasan) penolakan dibuat Speaker semalam kerana ketua majlis minta supaya perkara ini tak masuk dalam senarai.
“Sepatutnya Speaker memberi alasan mengapa dia menolak peraturan mesyuarat 18(1),” katanya.
Perkara dibangkitkan Shahidan itu kemudian disambut beberapa lagi Ahli Parlimen pembangkang yang terus mendesak supaya Speaker menunaikan janjinya untuk membenarkan isu itu dibahaskan dalam dewan.
“Semalam, Kami sudah berbincang dengan Speaker, beliau sudah memberi kelonggaran untuk dibahaskan selepas pembentangan RMK12. Tapi Speaker mungkir janji kepada kami,” kata Wan Ahmad Fayhsal.
Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (PN-Beluran) pula menegaskan punca beberapa Ahli Parlimen pembangkang bangkit di Dewan Rakyat kerana adanya komitmen daripada Speaker semalam.
“Itu isunya. Dari satu sudut kita akur kepada peraturan mesyuarat, kita faham. Tetapi Parlimen kita juga bergerak atas landasan konvensyen dan kebiasaan. Jadi, tidak ada pelanggaran atau ketidakpatuhan,” katanya.
Ketika menjawab tuntutan beberapa Ahli Parlimen itu, Ramli menjelaskan usul pertama di bawah Machang pada Jumaat sudah ditolak, sementara usul baharu dikemuka belum diputuskan Speaker.
Beliau juga meminta Ahli Parlimen pembangkang menunggu giliran ketika Johari selaku Speaker mempengerusikan sidang untuk bertanyakan berkenaan status usul berkenaan, sama ada boleh dibahaskan atau sebaliknya. – JURNAL